Wednesday, November 14, 2018
   
Text Size

Komuniti Rohingya -Bantuan Kemanusiaan Berterusan

 

Usaha Kemanusiaan

Bagi meneruskan lagi kesinambungan perhubungan persaudaraan seIslam antara negara, pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) tampil dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya. Prihatin dengan nasib golongan pelarian Rohingya. baru-baru ini, pihak IAM berpeluang untuk berkunjung kem Pelarian Rohingya, Balukhali Camps, Cox’s Bazar, Bangladesh dalam menyantuni pelarian Rohingya tersebut. Menurut maklumat yang diterima, dianggarkan lebih 1 juta pelarian yang menghuni di lebih 10 kem pelarian di kawasan tersebut. Mereka hidup dalam keadaan daif dan serba serbi kekurangan.

Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama sukarelawan IAM di Bangladesh. Melalui kunjungan ini, seramai 100 orang keluarga Rohingya telah dipilih termasuk 60 orang imam dari lebih 1,500 Surau yg terdapat di kem pelarian Rohingya untuk menerima sumbangan berbentuk pek makanan asas harian yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, kekacang, minyak masak, gula dan lain-lain lagi. Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang yang Prihatin akan nasib pelarian Rohingya ini.

Catatan Alfarouq Zauji..

Menyingkap kembali rentetan kehidupan mereka menjadi pelarian, pastinya mengundang 1001 pertanyaan. Sehingga kini, majoritinya masih lagi trauma akibat tindakan penindasan tentera Myanmar ke atas mereka. Mereka dihantui perasaan takut, cemas, marah. Ada diantara mereka yang mengalami kecederaan dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga. Rata-rata mereka datang ke sini, sehelai sepinggang kerana harta benda mereka telah musnah dan terpaksa ditinggalkan.

Hakikatnya untuk melepasi sempadan antara dua Negara, bukanlah satu perkara yang mudah. Mereka perlu meredah hutan, belukar, sungai kawasan berbukit bukau. Lebih menyayat hati ada diantara mereka terdiri daripada kanak-kanak, warga emas dan juga ibu mengandung. Mereka tidak ada pilihan, samada lari atau pun terus menjadi mangsa penindasan tentera Mynmar.

Bagi mereka, selamat sampai ke Kem ini merupakan satu rahmat kerana mereka masih lagi diberi peluang untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan mereka disini penuh dengan kesulitan dan serba serbi kekurangan. Melihat kepada keadaan penempatan sementara mereka, pasti mengundang kesedihan, Mereka tinggal di khemah yang sempit berlantaikan tanah dan berdindingkan kanvas. Sumber air mereka di sini bergantung sepenuhnya kepada telaga tiub yang disediakan oleh kerajaan Bangladesh. Ada juga telaga tiub yang disediakan oleh NGO tempatan dan asing. Telaga tiub pam tangan ini diletakkan dikawasan terbuka dan setiap masa, ia sering menjadi tumpuan pelarian disitu untuk menggunakan air, lantaran cuaca yang amat panas.

Seharian di kem Balukhali, saya dapati kawasan penempatan itu sangat daif dan tidak sesuai didiami. Rutin harian, mereka adalah dengan berulang-alik ke pusat pengedaran bantuan yang dikawal oleh tentera untuk mencuba nasib mendapat makanan. Pihak tentera yang ditugaskan mengawal dan memantau pengagihan bantuan menggunakan sistem kupon yang dipertanggungjawabkan kepada kepala zon. Kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan semata-mata kerana mereka tidak boleh bekerja. Saya juga berpeluang untuk menyaksikan kehidupan kanak-kanak pelarian Rohingya di kem tersebut. Kebanyakan mereka hanya menghabiskan masa bermain di jalanan yang kotor. Mereka bermain mengorek tanah dan berlari-lari tanpa dipantau oleh ibu bapa. Lebih menyedihkan lagi, mereka bermain dalam keadaan bogel tanpa pakaian dan berkaki ayam.

Begitu hebat dugaan buat komuniti Rohingya ini, pastinya sukar bagi mereka untuk meneruskan kehidupan dibumi asing sebagai pelarian. Moga mereka diberikan ketabahan dan masih ada lagi pihak yang terus  prihatin terhadap penderitaan yang mereka alami.

 

 

 

Login Form