Monday, November 20, 2017
   
Text Size

Golongan Ibu Tunggal Yang Memerlukan

Kumpulan ibu tunggal adalah terdiri daripada para ibu yang tidak mempunyai suami akibat dari kematian atau perceraian, dan terpaksa memikul beban mencari nafkah bersendirian bagi membesarkan anak-anak. Rata-rata ibu tunggal mengalami kesempitan hidup kerana tiada tempat bergantung dan terpaksa mengharapkan sokongan keluarga dan masyarakat sekeliling. 

Golongan ini menjadi antara kumpulan sasaran utama berikutan beberapa isu sosial dan ekonomi yang sering menghimpit para ibu tunggal ini. Secara lazimnya,meskipun memikul tanggungjawab selaku penjana utama pendapatan ekonomi keluarga, seringkali golongan wanita menerima pulangan yang kurang daripada ketua keluarga lelaki. Majikan mahupun masyarakat selalunya menganggap wanita, sekalipun mereka adalah ketua keluarga, sebagai pencari pendapatan sokongan di dalam sesebuah keluarga.

Para ibu tunggal juga sering menghadapi berbagai cabaran untuk memberikan komitmen yang tinggi terhadap kerjaya. Ini kerana mereka terpaksa memikul tanggungjawab lain termasuk memenuhi keperluan asasi keluarga, kesihatan, kebajikan, pendidikan anak-anak dan berbagai keperluan lain.

Di samping itu, para wanita yang kehilangan suami juga sering mengalami tekanan perasaan dan gangguan emosi. Keadaan ini adalah lebih berat bagi mereka yang sebelum ini menjadi suri rumah tangga sepenuh masa dan bergantung sepenuhnya kepada suami. Kekurangan kemahiran, keyakinan dan sumber-sumber lain serta persaingan yang tinggi menjadikan sektor pekerjaan sebagai satu cabaran yang besar bagi golongan ini.

 

Login Form