Thursday, September 21, 2017
   
Text Size

Warga Emas Yang Memerlukan

 

Warga emas ditakrifkan sebagai golongan warga tua yang berusia 60 tahun ke atas. Di kalangan masyarakat tempatan, masih terdapat sebilangan warga emas yang hidup di dalam serba kekurangan dan sangat-sangat memerlukan.

Kumpulan sasaran bagi kategori warga emas adalah terdiri daripada warga emas yang tidak memiliki tempat bergantung, yang tinggal di rumah-rumah kebajikan dan juga warga emas yang tinggal bersendirian di dalam keadaan yang sangat menyedihkan di kampung halaman masing-masing.

Berdasarkan tinjauan, kajian serta pengalaman Islamic Aid Malaysia, masih terdapat sebilangan besar warga emas yang memerlukan dan terpaksa bergantung hidup dengan ihsan daripada saudara-mara dan masyarakat sekeliling. Hasil tinjauan yang dijalankan, terdapat juga segolongan warga emas yang masih mempunyai anak-anak yang masih memberi perhatian dan kasih sayang, namun akibat dari dihimpit kemiskinan, anak-anak juga tidak mampu untuk memberikan penjagaan sempurna bagi ibu bapa mereka.

Akibat dari kepincangan sosial di kalangan masyarakat, terdapat juga golongan warga emas yang masih terpaksa mencari nafkah kerana terpaksa menanggung anak dan cucu yang masih menjadi di bawah tanggungan mereka.

Usia yang lanjut juga menyebabkan ramai warga emas mengalami masalah kesihatan dan memerlukan kos yang tinggi bagi pembiayaan kesihatan.

Warga emas yang memerlukan, menerima bantuan Islamic Aid Malaysia di bawah beberapa kategori program bantuan utama termasuk bantuan bekalan makanan asasi dan bantuan musim perayaan.

Login Form