Sunday, July 23, 2017
   
Text Size

Perutusan Presiden

Assalamualaikum dan salam sejahtera khusus buat semua sahabat dan penderma budiman yang telah membantu perjuangan kami selama ini. Hanya ucapan jutaan terimakasih dan setinggi penghargaan  yang mampu saya luahkan di atas semua sokongan dan bantuan anda baik dari segi sokongan moral, sumbangan masa, tenaga dan juga harta. Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas segala jasa dan budi baik anda semua, InshaAllah.

Sepanjang penglibatan saya di dalam kerja-kerja kebajikan, ramai rakan-rakan korporat, teman seperjuangan serta penderma budiman yang turut sama berganding bahu bersama-sama kami di dalam pelbagai misi kemanusiaan baik di dalam mahupun di luar negara. Sebagai insan yang kerdil, saya  hanya mampu berusaha setakat yang terdaya, berdoa agar segala usaha ini mendapat  keberkatan dan selebihnya saya serahkan kepada Allah S.W.T

Alhamdulillah, pada pengamatan kami sebenarnya masyarakat Malaysia adalah merupakan satu masyarakat yang penyayang dan sangat prihatin di mana semua kaum tidak terkecuali di dalam membantu sesama insan baik Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum. Inilah istimewanya rakyat Malaysia jika dibandingkan dengan rakyat dari negara- negara lain di mana sekiranya berlaku bencana alam walau di mana sekalipun, ramai yang akan tampil untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.


Islamic Aid Malaysia telah ditubuhkan setelah melihat kepada keperluan dan situasi semasa, di mana pihak kami merasakan perlu ada satu organisasi yang  prihatin kepada keperluan masyarakat setempat khususnya di Malaysia sendiri.

Atas dasar keprihatinan terhadap penderitaan golongan-golongan yang memerlukan di kalangan masyarakat setempat, Islamic Aid Malaysia telah ditubuhkan bertujuan  memberi keutamaan kepada masyarakat setempat sebagai golongan sasar dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Memetik kepada pepatah Melayu ‘Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

Pihak organisasi memberi fokus pelaksanaan program-program kemanusiaan di peringkat tempatan sebagai agenda utama  bagi memenuhi tanggungjawab sosial untuk membantu masyarakat setempat. Hakikatnya, berdasarkan kepada situasi dan keperluan semasa, masyarakat setempat masih lagi memerlukan sokongan dan bantuan yang berterusan.

Bagi mencapai objektif ini, pelbagai program bantuan kemanusiaan peringkat tempatan telah dirancang dari masa kesemasa mengikut kategori bantuan Islamic Aid Malaysia. Penerima bantuan bagi program-program ini adalah terdiri daripada kumpulan-kumpulan sasaran berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Bagi merealisasikan misi bantuan kemanusiaa ini, pihak Islamic Aid Malaysia amat mengalu-alukan sumbangan serta sokongan daripada individu dan badan-badan korporat serta organisasi yang prihatin. Sumbangan ikhlas anda amat bermakna bagi mereka yang memerlukan.

Login Form