Monday, November 20, 2017
   
Text Size

Warga Miskin dan Daif

 

Kumpulan sasaran utama bagi penerima sumbangan bantuan kemanusiaan Islamic Aid Malaysia adalah golongan warga miskin, daif yang memerlukan. Secara umumnya, golongan miskin boleh ditakrifkan sebagai golongan yang hidup di dalam serba kekurangan, samada kekurangan dari sudut keperluan asasi seperti makanan dan tempat tinggal, mahupun keperluan sosial seperti kemudahan kesihatan, pelajaran dan sebagainya.

Di Malaysia, lazimnya konsep kemiskinan dilihat sebagai kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif.

Kemiskinan mutlak diukur dengan menggunakan perbandingan antara jumlah pendapatan isirumah dengan tahap pendapatan garis kemiskinan (PGK). PGK merupakan satu jumlah pendapatan minimum, secara purata, bagi membolehkan sesebuah isirumah menampung keperluan asasi seperti makanan, pakaian, sewa rumah, pengangkutan, kesihatan dan keperluan-keperluan isirumah yang lain. PGK ini ditentukan berasaskan kepada taraf hidup penduduk negara ini. Golongan yang memiliki pendapatan di bawah dari PGK, dikategorikan sebagai miskin sementara golongan yang berpendapatan kurang separuh dari PGK dikatakan sebagai termiskin atau miskin tegar.

Konsep kemiskinan relatif pula mempunyai hubungkait dalam agihan pendapatan dimana penilaian terhadap kebajikan seseorang adalah juga bergantung kepada perbandingan tahap kebajikan orang lain di dalam masyarakat. Secara tidak langsung, konsep kemiskinan relatif berpunca daripada ketidaksamaan ekonomi dan sosial dalam masyarakat tersebut.

Secara ringkasnya, kemiskinan mutlak mempunyai hubungan dengan konsep keperluan asasi, manakala kemiskinan relatif mempunyai hubungan dengan agihan pendapatan.

Kumpulan sasaran bagi golongan miskin juga terdiri daripada golongan miskin di bandar dan di desa. Ini berikutan daripada berbagai perbezaan dari sudut sumber ekonomi serta perbezaan isu-isu sosial bagi golongan ini. Bagi kemiskinan di bandar, meskipun mereka mempunyai pendapatan tetapi mereka masih tidak mampu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi. Kemiskinan di desa pula lebih terjurus kepada kekurangan pendapatan bagi menampung hidup di samping kekurangan kemudahan sosial yang lain.

Meskipun berada di suasana yang berbeza, golongan ini berada di dalam keadaan yang serba kekurangan serta menikmati kualiti hidup yang rendah. Diatas faktor inilah, kumpulan ini menjadi kumpulan sasaran utama bagi program-program kemanusiaan Islamic Aid Malaysia.

 

Login Form