Sunday, October 21, 2018
   
Text Size

Program 'Jejak Prihatin' Bersama Sukarelawan Kelantan

Pasir Mas, Kelantan, 16 Mac 2011- Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM) dengan kerjasama kumpulan sukarelawan daripada Kelantan telah menganjurkan program ‘ Jejak Prihatin’ bagi mendekati masyarakat miskin setempat.

Program amal ini, merupakan  salah satu daripada program peringkat tempatan anjuran Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM) di mana melalui program ini, pihak Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM) telah menggunakan konsep ziarah terus ke rumah penerima bagi melihat sendiri dan merasai kesusahan serta penderitaan yang mereka hadapi. Melalui program ini juga, ia turut menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin untuk membantu khususnya golongan belia dan bagi mewujudkan semangat kesukarelawanan dan tolong menolong di antara satu sama lain.

Seramai kira-kira 10 orang sukarelawan daripada sekitar Pasir Mas, Kelantan telah terlibat secara langsung dalam menjayakan program yang di ketuai oleh saudara Bustanol Ariffin, Pengerusi IRM Cawangan Kelantan.

Melalui program ini juga, pihak wakil daripada pertubuhan dan sukarelawan telah berpeluang menziarahi 5 buah keluarga dan menghulurkan bantuan berupa pek makanan yang mengandungi pelbagai jenis makanan asas bagi mengurangkan beban kesengsaraan keluarga tersebut. Selain daripada itu, lawatan ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat terperinci bagi pihak pertubuhan untuk membuat penilaian bantuan dan sokongan jangka panjang bagi membimbing serta membantu keluarga terbabit supaya dapat hidup berdikari melalui program susulan pertubuhan iaitu “Program Sara Hidup”.

Di antara bantuan segera yang diperlukan adalah “pembaikan rumah” dan juga bantuan berbentuk pemberian peralatan mengikut kemahiran dan kesesuaian penerima manafaat bagi membolehkan mereka berdikari dan secara tidak langsung dapat mengubah status kehidupan mereka daripada terus dibelenggu kemiskinan. Lanjutan daripada itu, pihak Pertubuhan akan berusaha mengumpul dana bagi membantu keluarga terbabit.

Berikut merupakan maklumat mengenai penerima manafaat yang telah menjadi perhatian Pertubuhan IRM:

Kes 1
Saudara Mohd Asri Dollah, berusia 39 tahun. Tinggal di Kampung Kubang Panjang. Mempunyai purata pendapatan bulanan sebanyak RM600 termasuk bantuan daripada JKM. Menyara kehidupan dengan mengambil upah menjaga haiwan ternakan. Mempunyai tanggungan seramai 15 orang. Keadaan rumahnya amat daif, banyak kerosakan dan kebocoran pada bumbung dan juga dinding.

Kes 2
Saudara Shaari Mohd Noor, berusia 48 tahun. Tinggal di Kampung Kubang Panjang. Mempunyai purata pendapatan bulanan sebanyak RM600 termasuk bantuan daripada JKM. Menyara kehidupan dengan mengambil upah menanam sayur-sayuran. Walaupun begitu, pendapatannya hanya bergantung kepada komisen daripada hasil jualan sayur-sayuran tersebut. Keadaan rumahnya amat daif dan banyak kerosakan yang perlu diperbaiki. Mempunyai tanggungan seramai 7 orang.

Kes 3
Puan Aidawati Mohd Noor, berusia 32 tahun. Tinggal di Kampung Kubang Panjang. Merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan seramai 4 orang. Tinggal di dalam stor di belakang rumah ibubapanya selepas bercerai. Memperolehi purata pendapatan sebanyak RM400 sebulan termasuk bantuan daripada JKM. Menyara kehidupan hanya dengan mengambil upah menoreh getah.

Kes 4
Saudara Zainuddin bin Salleh, berusia 51 tahun. Tinggal di Kampung Binjai Kubang Terap. Menyara kehidupan dengan mengambil upah sebagai tukang rumah. Memperolehi purata pendapatan bulanan sebanyak RM500 termasuk bantuan daripada JKM. Mempunyai tanggungan seramai 6 orang. Keadaan rumahnya amat daif dan terdapat kerosakan seperti bumbung bocor dan sebagainya.

Kes 5
Saudara Aziz Bin Ismai, berusia 51 tahun. Tinggal di Kampung Binjal Pulau. Tidak berkerja kerana mengalami kecacatan fizikal selepasa kemalangan 4 tahun yang lalu. Mengharapkan isterinya yang bekerja untuk menyara kehidupan keluarga. Memperoleh purata pendapatan sebulan sebanyak RM500  sebulan termasuk bantuan daripada JKM. Mempunyai tanggungan seramai 7 orang termasuk ibunya yang merupakan warga emas dan mengalami masalah nyanyuk.

Atas dasar tanggungjawab kemanusiaan dan keprihatinan sesama insan , pihak pertubuhan amat mengalu-alukan sokongan dan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi kemanusiaan ini.

Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islamic Malaysia (IRM) iaitu www.irmalaysia.org.my atau menghubungi pihak kami di talian 03-89485939.

 

Login Form