Sunday, December 16, 2018
   
Text Size

Program Komuniti 'Mari Sihat' IRM-CUCMS

Dengkil, Selangor, 26 Mac 2011- Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia dengan kerjasama kumpulan sukarelawan daripada pelajar-pelajar Fakulti Farmasi Kolej Universiti Sains Perubatan Putrajaya (CUCMS) telah menganjurkan program kemasyarakatan 2011 yang bertemakan `MARI SIHAT’ bertempat di Kampung Dato’ Ahmad Razali. Program amal ini, merupakan  salah satu daripada projek tempatan anjuran Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia dibawah program `Komuniti’. Melalui program ini juga, ia turut menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin terutama golongan muda bagi mewujudkan sifat prihatin dan semangat sukarelawan

Program yang istimewa ini telah disempurnakan oleh Y.B.Dato’ Ir.Mohd Zin Bin Mohamad, Ahli Parlimen Sepang. Turut hadir ke majlis ini adalah Presiden, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia, YBhg. Encik Zawahir Che Abdullah dan YBhg. Dato’ Prof.Dr. Abu Abdullah, Presiden CUCMS. Program ini juga turut disertai oleh Tuan Haji Mohd Ali Bin Jamil, Ketua Kampung Dato’ Ahmad Razali serta  rakan-rakan sukarelawan Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia. Program ini telah melibatkan penyertaan seramai 300 orang yang terdiri daripada penduduk kampung setempat.

Seramai kira-kira 55 orang sukarelawan daripada Kolej CUCMS termasuk dua orang doktor dan juga pensyarah telah terlibat secara langsung dalam program ini. Pelbagai program kemasyarakatan telah diatur seperti demonstrasi memasak makanan sihat, pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma secara berterusan telah diadakan disepanjang program tersebut.

Turut diadakan adalah program bagi menceriakan kanak-kanak seperti senamrobik, demonstrasi mencuci tangan serta teknik menggosok gigi dengan cara yang betul. Kanak-kanak yang terdiri daripada murid-murid TABIKA KEMAS tersebut turut diberikan `goodie bags` bagi menggalakkan mereka menyertai aktiviti yang dianjurkan. Program ini juga turut disertai oleh sukarelawan-sukarelawan daripada Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

Lebih menarik lagi, program ini turut menerapkan unsur-unsur nilai kemasyarakatan di mana aktiviti bergotong-royong di antara masyarakat setempat dan juga sukarelawan Pertubuhan IRM dilaksanakan. Aktiviti pembersihan kawasan tadika serta aktiviti memasak turut menjadi perhatian para sukarelawan kerana ia berbeza dengan budaya dan rutin kehidupan masyarakat di bandar.

Menurut En.Zawahir, Presiden Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia, program `Bersama Komuniti’ ini merupakan antara program yang baru diperkenalkan bagi memberi pendedahan kepada kumpulan sukarelawan muda dalam usaha-usaha kemanusiaan yang melibatkan masyarakat setempat khususnya penduduk kampung dan juga lain-lain kelompok masyarakat. Melalui program ini,  para sukarelawan akan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung atau ke desa-desa yang jauh daripada persekitaran bandar bagi memberi perkhidmatan kemasyarakatan. Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan, membina kemahiran berkomunikasi, bekerjasama dan bersosial dalam budaya dan cara hidup yang berbeza.

Beliau juga turut memberi sumbangan berbentuk pek makanan kepada golongan fakir miskin di kampung tersebut. Seramai 68 buah keluarga yang telah dikenalpasti dan layak untuk menerima bantuan tersebut. Proses pemilihan dan penilaian bagi golongan fakir miskin ini telah dilaksanakan oleh Ahli Jawatankuasa Kampung tersebut.  Selain itu,beliau juga turut berbangga, di atas penyertaan dan penglibatan rakan kerjasama dan para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti dan generasi muda yang berbilang kaum dan latarbelakang yang berbeza, tetapi mereka bersatu atas semangat ingin membantu untuk meluangkan masa dan tenaga bagi menjayakan program seumpama ini. Beliau juga turut menyeru penyertaan orang ramai untuk bersama Pertubuhan Islamic Relief Malaysia dalam program dan usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan.

Penganjuran program seumpama ini pasti akan memberi manafaat kepada masyarakat di kampung Dato’ Ahmad Razali. Pendedahan mengenai ubat-ubat moden dapat memberi pendedahan secara terus kepada  masyarakat tersebut. Rata-rata yang ditemui, kebanyakannya memuji usaha Pertubuhan IRM dan CUCMS dalam memberi pendedahan kesihatan kepada masyarakat setempat.

Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia iaitu www.irmalaysia.org.my atau menghubungi pihak Pertubuhan IRM di talian 03-89485939.

 

Login Form