Tuesday, July 17, 2018
   
Text Size

Jejak Prihatin Bersama Sukarelawan Kedah

Kuala Nerang, Kedah, 02 April 2011- Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia dengan kerjasama kumpulan sukarelawan daripada Kedah telah mengadakan majlis pelancaran program `Jejak Prihatin Peringkat Wilayah Utara’. Program amal ini, merupakan  salah satu daripada projek tempatan anjuran Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islami Malaysia dibawah program `Komuniti Setempat’.  Melalui program ini, pihak Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia telah menggunakan konsep ziarah bagi melihat sendiri dan merasai kesusahan serta penderitaan yang mereka hadapi. Melalui program ini juga, ia turut menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin terutama golongan muda bagi mewujudkan sifat prihatin dan semangat sukarelawan.

Majlis ini telah disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Y.B Mohd Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Kuala Nerang, Y.B Datuk Syed Sobri Syed Hashim. Turut hadir ke majlis ini adalah   Presiden, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia, YBhg. Encik Zawahir Che Abdullah.

Seramai kira-kira 50 orang rakan sukarelawan daripada sekitar Kedah telah terlibat secara langsung dalam program ini. Program ini telah di ketuai oleh Saudara Khairu Mohd Yunus, Pengerusi Cawangan Kedah, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia.

Melalui program ini, telah menyaksikan penyerahan sumbangan berbentuk pek makanan kepada 100 buah keluarga disekitar daerah Kuala Nerang. Penerima sumbangan ini terdiri daripada golongan fakir miskin dan ibu tunggal serta warga emas yang telah dikenalpasti layak menerima bantuan daripada Kg. Kuala Janing, Kg. Tanjung, Kg.Bendang Raja dan lain-lain kampung di sekitar Kuala Nerang. Melalui tinjauan yang telah dilakukan, kebanyakan penerima manfaat yang menerima sumbangan ini adalah mangsa bencana banjir dimana rumah mereka telah rosak teruk akibat  banjir yang telah melanda negeri Kedah baru-baru ini.

Selain daripada menerima bantuan berbentuk pek makanan yang mengandungi makan asas, penerima manfaat ini turut diraikan dengan jamuan makan tengahari oleh rakan sukarelawan.  Rata-rata mereka yang hadir ini menyatakan rasa kesyukuran kerana masih lagi ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka walaupun berada di kawasan pendalaman.

Lanjutan daripada majlis pelancaran ini, turut diadakan lawatan ke sepuluh buah rumah penerima manfaat di sekitar Padang Terap dan Kuala Nerang bagi menghulurkan bantuan berbentuk pek makanan yang mengandungi makanan asas bagi mengurangkan beban kesengsaraan keluarga tersebut. Selain itu, melalui lawatan ini, ia bukan sekadar bantuan berbentuk pek makanan sahaja, tetapi ia juga akan menjadi titik permulaan bagi pihak Pertubuhan IRM untuk membuat penilaian jangka masa panjang bagi membimbing serta membantu untuk membolehkan penerima manfaat ini untuk hidup berdikari.

Melalui lawatan ini, pihak Pertubuhan IRM telah mendapati bahawa penerima manfaat ini perlu kepada bantuan untuk jangka masa panjang. Antara bantuan yang dirasakan perlu adalah bantuan berbentuk peralatan seperti kerusi roda,  bantuan berbentuk pembaikan rumah dan bantuan berbentuk pemberian peralatan mengikut kemahiran dan kesesuaian bagi membolehkan mereka berdikari dan secara tidak langsung dapat mengubah status kehidupan mereka daripada dibelenggu kemiskinan. Lanjutan daripada itu, pihak Pertubuhan akan berusaha mengumpul dana bagi membantu keluarga ini untuk bantuan susulan.

Bagi merealisasikan misi kemanusian dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan, pihak pertubuhan amat mengalu-alukan sokongan dan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi ini.

Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia iaitu www.irmalaysia.org.my atau menghubungi pihak Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia di talian 03-89485939.

 

Login Form