Monday, June 18, 2018
   
Text Size

Program Amal 'Jom Makan Durian Bersama Anak-Anak Yatim'

 

Bukit Gantang, Perak, 16 April 2011- Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia dengan kerjasama kumpulan sukarelawan telah mengadakan program amal ‘ Jom Makan Durian Bersama Anak-Anak Yatim’. Program amal ini, merupakan  salah satu daripada projek tempatan anjuran Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islamic Malaysia dibawah program `Komuniti Setempat’. 

Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia atau Islamic Relief Association Malaysia (IRM) adalah sebuah badan NGO Islam yang berdaftar di bawah pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan ditubuhkan bertujuan bagi memberi keutamaan kepada masyarakat setempat dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan. Misi Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia ( Islamic Relief Association of Malaysia- IRM ) adalah  membantu rakyat Malaysia yang miskin dan daif yang benar-benar memerlukan pertolongan dan bantuan tanpa mengira agama, bangsa dan juga warna kulit.

Lanjutan daripada itu, bagi merealisasikan misi pertubuhan ini, dalam usaha-usaha kemanusiaan, satu program kemasyarakatan telah diadakan. Program yang bertemakan ’ Jom Makan Durian ’ ini merupakan program bersama rakan sukarelawan dan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nurhidayah, Kg.Cheh. Melalui program ini juga turut diadakan adalah pemberian sumbangan kepada rumah kebajikan tersebut dan juga lawatan ke rumah penerima sumbangan bagi melihat dan merasai sendiri kesusahan yang mereka hadapi.

Program santai sambil beramal ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan diantara sukarelawan pertubuhan dan juga bagi mewujudkan sifat keprihatian dalam menyemai semangat kesukarelawan di kalangan masyarakat tempatan.  Seramai kira-kira 30 orang rakan sukarelawan telah terlibat secara langsung dalam program ini. Selain daripada menerima bantuan berbentuk pek makanan yang mengandungi makan asas, anak-anak yatim tersebut turut diraikan dengan jamuan makan tengahari oleh rakan sukarelawan.  Rata-rata anak yatim yang ditemui menyatakan rasa kesyukuran kerana masih lagi ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka walaupun berada di kawasan pendalaman.

Selain daripada program ini, turut diadakan lawatan ke dua buah rumah penerima manfaat di sekitar Kampung Cheh, Bukit Gantang bagi menghulurkan bantuan berbentuk pek makanan yang mengandungi makanan asas bagi mengurangkan beban kesengsaraan keluarga tersebut. Lawatan  singkat ini bukan sekadar untuk menghulurkan barangan makanan sahaja, tetapi ia juga akan menjadi titik permulaan bagi pihak Pertubuhan IRM untuk membuat penilaian jangka masa panjang bagi membimbing serta membantu untuk membolehkan penerima manfaat ini untuk hidup berdikari.
 
Bagi merealisasikan misi kemanusian dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan, pihak pertubuhan amat mengalu-alukan sokongan dan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi ini.

 

 

 

Login Form