Sunday, April 22, 2018
   
Text Size

Jualan Amal 'Bonanza Amal 1Malaysia -IRM & KTMB'

 

Ipoh, Perak, 21 April 2011- Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia atau Islamic Relief Association Malaysia(IRM)  dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTMB) telah menganjurkan program amal yang bertemakan ’Bonanza Amal 1 Malaysia’ bertempat di ruang legar, Stesen Keretapi Ipoh.

Program amal ini merupakan  salah satu daripada projek tempatan Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia( Pertubuhan IRM).  Melalui program ini, pihak Pertubuhan IRM telah menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin untuk mendermakan barangan terpakai untuk dijual semula dan hasil bagi jualan tersebut akan disalurkan kepada golongan yang kurang berkemampuan di bawah pengelolaan pihak Pertubuhan IRM bagi usaha-usaha kemanusiaan khususnya di Malaysia.

Usaha murni ini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada  pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang begitu prihatin terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Pertubuhan IRM. Bagi menjayakan program ini, Pihak KTMB telah membantu pihak Pertubuhan IRM dalam mengumpulkan barang terpakai hasil daripada sumbangan orang ramai yang terdiri daripada pengguna KTM khususnya. Aktiviti pengumpulan barangan terpakai ini telah berjalan lebih kurang 3 minggu dengan pembukaan pusat pengumpulan barang di stsesen keretapi dan komuter yang terlibat seperti di Stesen Keretapi Sentral Kuala Lumpur, Stesen Komuter Subang Jaya, Stesen Komuter Shah Alam, Stesen Komuter Klang dan Stesen Komuter Kajang. Dengan adanya pusat pengumpulan barangan ini, ia telah memudahkan orang ramai untuk menjayakan kempen ini. .
Selain daripada itu, pihak KTMB juga turut membuat ’charity-drive’ dalam gerabak keretapi dan juga di stesen-stesen KTM yang lain bagi membantu pihak Pertubuhan IRM mengumpul dana.

Melalui program yang istimewa ini, pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, barang perhiasan, buku-buku dan lain-lain peralatan telah dijual pada harga serendah RM2. Kesemua barangan yang dijual ini telah disaring oleh para sukarelawan IRM dan hanya barang yang berada di dalam keadaan baik saja dipamerkan untuk dijual. Lokasi program telah diadakan ditempat awam bagi memudahkan orang ramai yang prihatin untuk turut serta dalam jualan amal tersebut.

Menurut En.Zawahir Abdullah, Presiden Pertubuhan IRM, “Pertubuhan ini telah ditubuhkan setelah melihat kepada keperluan dan situasi semasa, di mana pihak kami merasakan perlu ada satu organisasi yang  prihatin kepada keperluan masyarakat setempat khususnya di Malaysia sendiri”.

Menurutnya lagi, Program `Bonanza Amal Barangan Terpakai` ini merupakan antara program tempatan yang telah direncanakan oleh pihak pertubuhan IRM untuk tahun 2011 bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. Beliau turut percaya bahawa  program seumpama ini pasti menjadi pilihan dan tumpuan membeli-belah untuk golongan sederhana dan bawahan yang mahukan pelbagai barangan berjenama pada harga yang murah. Langkah menggunakan semula barangan dan bahan terpakai adalah usaha murni kerana mengurangkan sampah serta menjimatkan perbelanjaan berikutan kos mendapatkannya jauh lebih murah berbanding barangan baru. Melalui kempen yang dijalankan dalam masa  lebih kurang 3 minggu ini, telah memperlihatkan tanda prihatin masyarakat Malaysia. Selain itu, keprihatinan, masyarakat tempatan juga harus dipuji, kerana kebanyakkan barang yang didermakan berada  dalam kualiti yang baik dan lebih menghairankan kami, ada juga barangan baru yang masih belum digunakan lagi turut didermakan.

Menurutnya lagi, program seumpama ini akan menjadi platform kepada orang ramai untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha kemanusiaan. Penglibatan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti golongan selebriti sebagai sukarelawan amat dialu-alukan bagi menjayakan usaha murni ini dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.

 

Login Form