Tuesday, April 24, 2018
   
Text Size

Malam Amal Simfoni Kasih bersama Dato' Sharifah Aini

 

Di atas keperihatinan Biduanita terkenal negara Dato' Sharifah Aini yang juga sering digelar Kak Pah, terhadap golongan yang memerlukan, sebuah Majlis Makan Malam Amal Simfoni Kasih "Hapuslah Airmatamu" telah diadakan pada 2 Julai 2011 bertempat di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah diadakan melalui kerjasama Radio IKIMfm, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia dan Hotel Seri Pacific, selaku hotel rasmi. Turut hadir menyaksikan persembahan beliau di malam tersebut adalah Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof Dato' Zaleha Kamaruddin, Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad dan Presiden Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (Pertubuhan IRM) Zawahir Abdullah.

Majlis ini merupakan salah satu program penjanaan dana dimana hasil jualan tiket serta sumbangan yang diperolehi akan disalurkan bagi membiayai program-program kemanusiaan anjuran Pertubuhan IRM. Seramai lebih 400 tetamu yang hadir adalah terdiri daripada rakan kerjasama, rakan media, peminat setia Dato' Sharifah Aini serta para dermawan yang ingin menyumbang sambil berhibur. Rata-rata tetamu yang hadir merasa cukup terhibur dan terharu di atas persembahan yang cukup bermakna itu. Kehebatan Dato' Sharifah Aini sememangnya sudah tidak dapat dipertikaikan lagi, ini terbukti kerana selain dari para peminat dari serata tanah air termasuk Kelantan dan Sabah, ada diantara peminat setia beliau yang sangup datang dari Singapura, Brunei Darussalam semata-mata untuk menyaksikan persembahan beliau di malam tersebut.

Sebanyak 25 lagu telah didendangkan bagi menghiburkan para tetamu di malam tersebut. Sesuai dengan konsep muzik kerohanian yang diperjuangkan oleh Radio IKIMfm, Kak Pah telah mendendangkan lagu-lagu berbentuk kerohanian seperti Permaidani, Panti Asuhan, Renungkanlah dan Inilah Blasannya. Beliau juga turut mendendangkan lagu-lagu 'evergreen' beliau termasuk Seri Dewi Malam, Janji, Terbang Helang, Kini Hatiku telah Tertawan, Tunggu Sekejap dan lagu-lagu lain secara medley. Beliau juga turut berduet dengan 2 tetamu dermawan bagi lagu Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dan Seiring dan Sejalan.

Di majlis tersebut, Dato Sharifah Aini telah menyatakan rasa terharu beliau di atas kesempatan yang diberi untuk bersama-sama menyumbangkan bakat beliau bagi membantu mereka-mereka yang memerlukan. Kerja-kerja amal sememangnya sudah tidak asing lagi bagi beliau, untuk itu beliau mengharapkan para peminatnya akan mendoakan beliau agar beliau akan terus diberi kekuatan untuk berbakti serta menggunakan bakatnya ke arah kebaikan.

Di akhir majlis, Dato' Sharifah Aini telah menerima kejutan dari para penganjur dengan kek sambutan hari jadi bagi meraikan hari jadi beliau yang jatuh pada hari tersebut. Pihak Pertubuhan IRM merasa sangat berbesar hati diatas keperihatinan beliau. Semoga kerjasama yang diberikan oleh biduanita terkenal, rakan kerjasama dan para dermawan yang prihatin akan berpanjangan di masa hadapan.

 

Bagi mendapatkan keseluruhan album, sila klik link di bawah :

Malam Amal Simfoni Kasih Bersama Dato' Sharifah Aini

Persembahan Istimewa Dato' Sharifah Aini

Malam Amal Simfoni Kasih - Peminat Kak Pah Terhibur

Malam Amal Simfoni Kasih - Peminat Kak Pah Puas Hati

Sambutan Hari Lahir Kak Pah

Malam Amal Simfoni Kasih - Sidang Media

 

 

 

Login Form