Thursday, December 13, 2018
   
Text Size

Majlis Pelancaran 'Kasih Ramadan 2011' di Muzium Negara Malaysia

 

Kuala Lumpur, 23 Julai 2011- Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia telah melancarkan program ’Kasih Ramadhan 2011’ & ’Karnival Jualan Amal’ bertempat di dataran Muzium Negara.

Program ’Kasih Ramadhan 2011’ merupakan program amal pengagihan pek makanan keperluan harian kepada golongan fakir miskin dan juga golongan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban golongan tersebut untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan.  Program yang bertemakan ’Bantulah Mereka Berbuka Puasa’ ini juga turut melibatkan kempen kutipan dana daripada orang ramai bagi membantu golongan tersebut sempena bulan Ramadhan yang bakal menjelang tiba tidak berapa lama lagi.

Melalui majlis yang istimewa ini, Pertubuhan IRM telah mengagihan pek makanan ”Kasih Ramadhan”  yang pertama untuk tahun 2011. Sebanyak 100 pek makanan telah diagihkan kepada golongan istimewa yang terdiri daripada warga masyarakat orang kerdil, ibu tunggal, golongan fakir miskin dan juga kakitangan Jabatan Muzium yang telah disenarai pendek layak untuk menerima sumbangan.

Program ’Kasih Ramadan’ ini juga turut mendapat sokongan dari rakan media yang prihatin, Radio Klasik Nasional selaku radio rasmi kempen ini. Kerjasama ini juga diadakan sebagai salah satu cara memenuhi tanggungjawab sosial stesen radio tersebut.

Sebagai salah satu usaha pengumpulan dana bagi menjayakan program ’Kasih Ramadhan 2011’ , ’Karnival Jualan Amal Barangan Terpakai’  telah diadakan sejurus selepas majlis pelancaran. ’Karnival Jualan Amal Barangan Terpakai’ ini telah melalui sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Muzium Malaysia yang telah bermurah hati menyediakan lokasi jualan di kawasan dataran Muzium.
Bagi menjayakan program ini, pihak Jabatan Muzium Malaysia telah membantu pihak Pertubuhan IRM dalam mengumpulkan barangan terpakai hasil daripada sumbangan orang ramai. Aktiviti pengumpulan barangan terpakai ini telah berjalan lebih kurang 3 minggu dengan pembukaan pusat pengumpulan barang di Muzium Negara. Dengan adanya pusat pengumpulan barangan ini, ia telah memudahkan orang ramai untuk menyumbang kepada kempen ini. .Selain daripada itu, pihak Jabatan Muzium Malaysia juga turut membuat ’charity-drive’ dengan menempatkan tabung derma di pintu masuk Muzium di sepanjang bulan Ramadhan bagi memudahkan pengunjungnya untuk membuat sumbangan.

Melalui program yang istimewa ini, pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, barang perhiasan, buku-buku dan lain-lain peralatan telah dijual pada harga serendah RM2. Kesemua barangan yang dijual ini telah disaring oleh para sukarelawan Pertubuhan  IRM yang terdiri daripada pelajar-pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat dan hanya barang yang berada di dalam keadaan baik saja dipamerkan untuk dijual. Lokasi program telah di adakan ditempat awam bagi memudahkan orang ramai yang prihatin untuk turut serta dalam jualan amal tersebut.  Turut diadakan adalah jualan pelbagai produk dan juga pelbagai aktiviti seperti  pertandingan ’Bijak Jawi’ bagi memeriahkan lagi majlis ini. Program santai sambil beramal ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan diantara sukarelawan pertubuhan dan juga bagi mewujudkan sifat keprihatian dalam menyemai semangat kesukarelawan.  

Program amal ini merupakan  salah satu daripada projek tempatan Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia( Pertubuhan IRM).  Melalui program ini, pihak Pertubuhan IRM telah menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin untuk mendermakan barangan terpakai untuk dijual semula dan hasil bagi jualan tersebut akan disalurkan kepada golongan yang kurang berkemampuan di bawah pengelolaan pihak Pertubuhan IRM bagi usaha-usaha kemanusiaan khususnya di Malaysia.

 

Bagi melihat album penuh program, sila klik link di bawah :

Di Belakang Tabir Karnival Jualan Amal di Muzium Negara

Penyampaian Sumbangan Ikhlas 'Kasih Ramadan' dari TAKAFUL IKHLAS

 

Bagi menghulurkan sumbangan, sila klik di sini

 

Login Form