Saturday, January 20, 2018
   
Text Size

Pengagihan Bantuan 'Kasih Ramadan' bagi Masyarakat Orang Asli

 

Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM) telah mengadakan Majlis Penyerahan Pek Makanan bersempena Program “Kasih Ramadhan-Bantulah Mereka Berbuka Puasa”  bertempat di Perkampungan Orang Asli Kampung Makmur, Ulu Kinta, Ipoh, Perak, pada 6 Ogos 2011 yang lepas. Majlis ini juga telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan IRM, En.Zawahir Abdullah dan juga Pengarah Radio RTM, Tuan Haji Muhamad Mat Husin.  Program ini juga turut disertai oleh sukarelawan-sukarelawan Pertubuhan IRM, rakan-rakan media dari RTM, Bernama dan juga I Luv Islam. Turut hadir bagi memeriahkan majlis adalah penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli.

Seramai 200 orang masyarakat orang asli beragama Islam telah mendapat manfaat daripada program ini. Selain dari masayarakat orang asli dari Kg. Makmur, pengagihan pek makanan ini turut melibatkan penerima manfaat daripada kampung berhampiran termasuk Kg. Lalang dan Kg.Kuala Termin. Meskipun lokasi kampung ini terletak tidak jauh dari bandar Ipoh, namun kedudukannya yang agak terpecil, di celah bukit bukau menyukarkan bantuan-bantuan kemanusiaan untuk sampai ke kawasan ini. Keadaan jalan yang berbukit bukau serta sempit menyukarkan kebderaan biasa untuk sampai ke kawasan kampung ini. Untuk menjayakan program kali ini, misi ini telah mendapat kerjasama daripada Kelab 4x4 Penang yang telah membantu membawa rombongan menaiki bukit untuk sampai ke Kg. Makmur.

Majlis Pengagihan Pek Makanan ini telah diakhiri dengan majlis berbuka puasa serta solat maghrib berjemaah bersama masyarakat setempat.

Menurut En. Zawahir, Presiden Pertubuhan IRM, kumpulan penerima sumbangan kali sangat berkelayakan untuk mendapat manfaat Kasih Ramadan berikutan kedudukan mereka sebagai golongan minoriti dan masyarakat yang terpinggir dek arus pembangunan. Diharap dengan adanya pek makanan ini, ia dapat membantu meringankan beban keluarga-keluarga di kalangan masayarakat ini selama dua hingga tiga minggu sepanjang bulan ramadhan ini. Pek makanan tersebut yang mengandungi makanan keperluan harian seperti beras, gula, garam, susu, tepung, minyak masak, sardin dan kurma ini adalah hasil sumbangan orang ramai melalui kempen `Kasih Ramadhan-Bantulah Mereka Berbuka Puasa` sejak ia dilancarakan di Muzium Negara pada hujung bulan Julai yang lalu.

Pihak Pertubuhan IRM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai dan juga syarikat korporat yang menyumbang dana, barang keperluan malahan tenaga, dalam menjayakan kempen `Kasih Ramadhan 2011`. Bantuan daripada pihak yang prihatin ini sangat dialu-alukan sebagai usaha untuk membantu lebih ramai golongan yang memerlukan di bulan yang mulia ini.

 

Bagi mendapatkan keseluruhan album, sila klik link di bawah

 

Program Kasih Ramadan Bersama RTM & Bernama TV

'Kasih Ramadan' - Pertubuhan IRM Rai Masyarakat Orang Asli Berbuka Puasa

 

Bagi menghulurkan sumbangan, sila klik di sini


 

Login Form