Monday, June 18, 2018
   
Text Size

Program Kembali Ke Sekolah di Kelantan

 

Kubang Kerian, Kelantan, 28 Disember 2011- Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (Islamic Aid  Malaysia) dengan kerjasama kumpulan sukarelawan daripada Kelantan telah mengadakan satu program kemanusiaan ‘ Kembali Ke Sekolah’ bertempat di Mydin Kubang Kerian. Program istimewa ini telah menghimpunkan seramai 50 orang anak yatim serta kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan dari beberapa buah kampung di sekitar Pasir Mas dan Pasir Putih untuk membeli peralatan dan juga uniform sekolah.

Program istimewa ini telah mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan Mydin di Kubang Kerian, dimana setiap kakitangan Mydin akan mengiringi seorang kanak-kanak untuk memilih pakaian termasuk kasut serta alatulis. Kira-kira 50 orang kakitangan Mydin telah terlibat dalam program amal ini.

Program kemanusiaan yang bertemakan projek ‘Kembali Ke Sekolah’ merupakan program komuniti bagi membantu pelajar-pelajar dikalangan mereka yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan pembiayaan persediaan untuk kembali ke sekolah. Program ini memberi  fokus kepada anak-anak yatim miskin dan anak-anak golongan fakir miskin di kawasan luar bandar. Melalui program ini Islamic Aid Malaysia bersama rakan penaja akan bersama-sama membantu pelajar-pelajar yang terpilih untuk menyediakan kelengkapan persekolahan sebelum bermulanya sessi persekolahan 2012. Penyediaan kelengkapan persekolahan ini merangkumi uniform sekolah, kasut, beg sekolah dan juga alat tulis. Program ini akan dilaksanakan oleh para sukarelawan dan juga rakan kerjasama pertubuhan.

Objektif utama program ini adalah mengurangkan beban golongan fakir miskin dalam membuat persediaan untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan sessi persekolahan 2012 dengan kelengkapan yang mencukupi.

Presiden Islamic Aid Malaysia, Zawahir Abdullah berkata, program ini merupakan antara program kemanusiaan yang telah dirancang setiap tahun bagi membantu dan meringankan beban kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk membuat persediaan ke sekolah.
" Apa yang ingin kami berikan sebenarnya bukanlah pakaian serta barang kelengkapan persekolahan tetapi kasih sayang sebagai seorang bapa atau ibu di mana kami akan menemani mereka untuk membeli dan memilih pakaian yang bersesuaian agar mereka dapat merasai sendiri bagaimana rakan-rakan mereka yang lain saban tahun ditemani oleh ayah atau ibu tersayang bagi membeli barangan keperluan sekolah. Sebelum ini, kami hanya menyumbangkan bantuan berbentuk pek makanan, namun atas dasar prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang kurang berkemampuan bagi meneruskan sesi persekolahan, pihak kami bercadang untuk membantu menyediakan kelengkapan persekolahan mereka. Lebih menarik lagi, sesi bantuan ini turut melibatkan penyertaan kanak-kanak tersebut. Mereka akan kami bawa mereka ke pusat beli-belah untuk mereka merasai sendiri keseronokan membuat persiapan persekolahan, katanya.

"Ini juga sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami untuk mendekati golongan kurang berkemampuan dan kami harap dengan sumbangan ini mereka lebih bersemangat untuk belajar dan berjaya. Setiap kanak-kanak yang terlibat akan diperuntukkan sebanyak RM 150 untuk membeli kelengkapan sekolah yang diperlukan. Setiap kanak-kanak itu akan diberikan uniform sekolah (2 pasang), kasut sekolah, stokin, beg sekolah dan juga alat tulis." katanya
"Ini aktiviti tahunan dan kami merancang untuk meraikan lebih ramai lagi kanak-kanak yang memerlukan pada masa akan datang, Kami berharap semoga kanak-kanak yang terpilih dalam program ini akan merasa sangat gembira kerana dapat pakaian sekolah baru, Kami turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai khususnya golongan korporat untuk turut sama dalam menjayakan program amal ini " ujarnya.

Lanjutan daripada itu, bagi merealisasikan misi kemanusian dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan, pihak pertubuhan amat mengalu-alukan sokongan dan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi ini.

 

 

Bagi melihat album penuh, sila klik di sini

Bagi album sumbangan beg sekolah untuk anak-anak yatim dan miskin, sila klik di sini

Login Form