Monday, April 23, 2018
   
Text Size

Bantuan Banjir bersama 'Charity Chef Islamic Aid Malaysia' di Pekan, Pahang

 

15 Januari 2012 - Sebagai lanjutan daripada Tabung Bantuan Banjir, pihak Islamic Aid Malaysia (IAM)  telah berkunjung  ke Pusat Penempatan Sementara mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Pekan, Pahang. Ketika kunjungan dibuat, pusat tersebut masih lagi menempatkan sejumlah 323 orang daripada 79 keluarga dari kampung Cenderawasih, Sungai Miang. Mangsa banjir telah dipindahkan dari kawasan penempatan mereka sejak 3 hari yang lalu selepas rumah mereka dinaiki air. Kunjungan ke pusat tersebut adalah bagi mengedarkan pek-pek bantuan yang berupa makanan asas harian seperti beras, gula, sardin, minyak, tepung, biskut,telur dan lain-lain lagi bagi membantu meringankan beban mangsa banjir tersebut.

Sempena kunjungan ini, satu program istimewa yang unik iaitu ‘ Program Memasak' untuk mangsa banjir yang telah turut diperkenalkan oleh Islamic Aid Malaysia (IAM). Melalui program ini, pihak IAM akan berkunjung ke pusat pemindahan bersama dengan ‘Charity Chef’ iaitu Chef Yang Jamil yang telah mengadakan demonstrasi masakan disamping memasak untuk menjamu lebih 450 mangsa banjir di pusat tersebut. Melalui program ini menu pilihan adalah Nasi Minyak, Ayam Masak Merah serta Dalca. Melalui program ini, Chef Yang Jamil akan berkongsi tips masakan bersama dengan mangsa-mangsa banjir disamping menghiburkan mereka dengan aksi yang mencuit hati disamping tips-tips masakan. Kerja-kerja memasak yang dilakukan telah turut dibantu secara gotong-royong oleh para penghuni di pusat pemindahan tersebut.

Rata-rata penerima sumbangan melahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada pihak Utusan Malaysia serta Islamic Aid Malaysia (IAM) yang prihatin akan keadaan mereka ketika ini tambahan pula kebanyakan mereka adalah terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dan kebanyakannya bekerja sebagai buruh dan membuat kerja-kerja kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Seorang mangsa banjir yang ditemui di pusat pemindahan Sek.Keb Sinar Mutiara, Bidayah Mat Jusoh, 32 tahun,merupakan seorang ibu tunggal dengan 5 orang anak  berkata, kawasan rumahnya dinaiki air sepenuhnya. “Hujan lebat berterusan menyebabkan rumahnya yang berhampiran kawasan sungai  ditenggelami air pada paras kaki pagi khamis lalu. Hari ini, nampaknya hari semakin cerah, namun menurutnya lagi air yang menengelami kawasan rumahnya masih lagi belum  surut." katanya yang sudah tiga malam menginap di pusat permindahan tersebut.

Ahli JKK Sg. Miang, Wan Abdullah Wan Salleh, 46 tahun,  berkata, pada kebiasaannya kami akan menyediakan nasi kawah dan lauk seperti sardin, sup kicap, sambal bilis dan sebagainya untuk mangsa banjir di pusat ini. “Nampaknya kunjungan IAM ke pusat ini, telah membawa suatu kelainan, masak makanan istimewa untuk mangsa banjir. Kami amat gembira kerana, masakan sebegini biasanya akan dapat mereka jamah apabila ketika musim kenduri dan majlis-majlis tertentu, namun walaupun ketika banjir, mereka dapat juga merasa makanan yang enak,” katanya yang juga merupakan tukang masak di pusat tersebut.
Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih diatas keprihatinan pihak IAM dan Kumpulan Utusan kerana sudi menghulurkan bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara.

Tabung Bencana Banjir merupakan sebuah kerjasama kemanusiaan diantara IAM dan Utusan Malaysia, telah dilancarkan secara rasmi pada 29 November 2011 yang lalu. Dengan objektif utama bagi membantu mangsa-mangsa banjir seluruh Negara. Dana yang dikumpulkan ini bertujuan membeli keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir di utara tanahair dan kini diperluaskan untuk mangsa banjir di selatan tanahair.’

 

Bagi melihat album penuh, sila klik di sini

Bagi album Majalah Upin Ipin ceriakan Bantuan Banjir di Pahang, sila klik di sini

Login Form