Thursday, April 26, 2018
   
Text Size

Bonanza Amal 'Hope2Walk' -Kumpul Dana Bantu Pesakit Cerebral Palsy



Kuala Lumpur, 04 Februari 2012-  Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama IKIM.fm dan  Jabatan Muzium Malaysia telah menganjurkan program ’ ‘Bonanza Amal Hope2walk’ bertempat di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur. Bonanza Amal ini diadakan sebagai usaha mengumpul dana bagi membantu pesakit Celebral Palsy atau lumpuh otak.

Konsep program amal ini adalah dengan mengumpul dan menjual semula barangan terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai di mana hasil daripada jualan barangan ini akan disalurkan kepada adik An-Nur Bt Mohd Affendi yang mengalami penyakit Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan Mitochondrial Disease untuk mendapatkan rawatan di Erkang Hospital di Beijing, China bagi menjalani rawatan, latihan fisioterapi dan program pemulihan yang intensif.

Usaha murni ini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada IKIM.fm dan Jabatan Muzium Malaysia yang begitu prihatin terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Islamic Aid Malaysia (IAM).

Bagi menjayakan program ini, pihak IKIM.fm telah membantu  dari aspek promosi serta hebahan kepada orang ramai tentang program ini . Manakala pihak Jabatan Muzium Malaysia telah menjadi lokasi untuk pengumpulan barangan terpakai ini.  Aktiviti pengumpulan barangan terpakai ini telah berjalan lebih kurang 3 minggu dengan pembukaan pusat pengumpulan barangan terpakai di Muzium Negara. Dengan adanya pusat pengumpulan ini,  ianya amat memudahkan orang ramai untuk menyumbang kepada kempen ini. 

Melalui program yang istimewa ini, pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, barang perhiasan, barangan elektrik, kasut, beg tangan, buku-buku dan lain-lain telah dijual pada harga serendah RM2. Kesemua barangan yang dijual ini telah disaring oleh para sukarelawan IAM dan dibantu oleh kakitangan Jabatan Muzium Negara bagi memastikan hanya barang-barang yang berada di dalam keadaan yang baik sahaja dipamerkan untuk jualan. Lokasi program telah di adakan ditempat awam bagi memudahkan orang ramai yang prihatin untuk turut serta dalam program jualan amal tersebut.  Program santai sambil beramal ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan diantara sukarelawan pertubuhan dan juga bagi mewujudkan sifat keprihatian dan menyemai semangat kesukarelawan dikalangan masyrakat. 

Selain jualan amal, program ‘Bonanza Amal’ ini turut diserikan lagi dengan penampilan DJ (penyampai-penyampai) radio IKIM.fm serta persembahan artis-artis tempatan yang akan menyanyikan lagu yang berkonsepkan kerohanian sepeti Suhaimi Mior Hassan dan lain-lain serta deklamasi sajak oleh Pyan Habib. Turut diadakan adalah demonstrasi masakan daripada Chef Sabri, persembahan Karikatur serta lelongan barangan.

Program amal ini merupakan  salah satu daripada program peringkat tempatan anjuran  Islamic Aid Malaysia ( IAM).  Melalui program ini, pihak IAM telah menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin untuk mendermakan barangan terpakai untuk dijual semula dan hasil bagi jualan tersebut akan disalurkan kepada adik Annur.

Menurut En.Zawahir Abdullah, Presiden, Islamic Aid Malaysia(IAM), “Pertubuhan ini telah ditubuhkan setelah melihat kepada keperluan dan situasi semasa, di mana pihak kami merasakan perlu ada satu organisasi yang  prihatin kepada keperluan masyarakat setempat khususnya di Malaysia sendiri.”

Menurutnya lagi, Program `‘Bonanza Amal Hope2walk’ ` ini merupakan antara program tempatan yang telah direncanakan oleh pihak IAM untuk tahun 2012 bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. Beliau turut percaya bahawa  program seumpama ini pasti menjadi pilihan dan tumpuan membeli-belah untuk golongan sederhana dan bawahan yang mahukan pelbagai barangan berjenama pada harga yang murah. Langkah mengitar semula barangan dan bahan terpakai adalah usaha murni kerana mengurangkan sampah serta menjimatkan perbelanjaan berikutan harganya jauh lebih murah berbanding barangan baru. Melalui kempen yang dijalankan hanya dalam masa  lebih kurang 3 minggu ini, telah memperlihatkan tanda keprihatinan Malaysia dan harus dipuji kerana kebanyakan barang yang didermakan berada  dalam kualiti yang baik malahan turut  ada barangan baru yang masih belum digunakan lagi didermakan.

Menurutnya lagi, program seumpama ini akan menjadi platform kepada orang ramai untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha kemanusiaan. Penglibatan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti golongan selebriti sebagai sukarelawan amat dialu-alukan bagi menjayakan usaha murni ini dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Islamic Aid Malaysia  iaitu www.iam.org.my atau menyumbang terus ke Akaun Maybank No: 564070002424 ( klik OKU ). Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha kemanusian, sila dihubungi talian 03-89485939 (Farouq Zauji). 

TENTANG HOPE 2 WALK

Hope 2 Walk merupakan jenama sebuah kempen yang ditubuhkan oleh Mohd. Affandi bin Ramli dan Raja Rohaisham bertujuan untuk mencari dana pembiayaan rawatan intensif dan perubatan dua anak perempuan mereka iaitu Annisa binti Mohd. Affandi, 10 tahun dan An-Nur binti Mohd.Affandi, 8 tahun yang mengalami kecacatan Cerebral Palsy (Lumpuh Otak). Dana ini memerlukan kos RM500,00.00 bagi membawa kedua-dua mereka menjalani rawatan dan latihan fisioterapi yang tersusun di Hospital Erkang, Beijing China. Hope 2 Walk dibantu oleh beberapa sukarelawan dan dipengerusikan oleh Encik Hasan Suyut yang mempunyai pengalaman membawa anak lelakinya Atiq Wazif ke tempat yang sama beberapa tahun lepas. Atiq Wazif yang juga mengalami Cerebral Palsy kini sudah boleh berjalan.
Annisa dan An-Nur mengalami Cerebral Palsy disebabkan kekurangan oksigen sehingga mengakibatkan kelewatan perkembangan tumbesaran. Kanak-kanak ini tidak mampu menguruskan diri sendiri dan memerlukan penjagaan sepenuh masa seperti kanak-kanak berusia satu bulan. Selain itu tulang belakang mereka yang membengkok (scoliosis) menyebabkan isipadu paru-paru menyempit dan mudah terkena jangkitan. Mereka kerap dimasukkan ke hospital kerana mengalami Broncol Pneumonia. Tulang sendi pinggul mereka juga terkeluar dari soket (hip dislocate) dan perlu dimasukkan semula.
Di Erkang Hospital, Beijing mereka akan mengikuti latihan dan rawatan yang tersusun dan rapi dengan berbagai kaedah moden dan tradisional di bawah satu bumbung selama 18 bulan. Antara sesi rawatan yang akan dilalui merangkumi akupunktur, fisioterapi, latihan carakerja (occupational therapy), stimulasi dan berbagai-bagai teknik. Kaedah-kaedah ini begitu masyhur dan terbukti berkesan dimana Erkang Hospital mempunyai kepakaran lengkap dari sudut itu.
Bagaimanapun, Annisa binti Mohd. Affandi telah meninggal dunia pada 22 Disember 2011 yang lalu dan hari ini kempen Hope 2 Walk masih lagi diteruskan untuk membiayai adiknya, An-Nur. Bagi menyumbang terus ke Tabung 'Hope2Walk' Sumbangan boleh juga dibuat kepada Akaun Maybank: 156114001424  ( Mohd. Affandi bin Ramli ).

 

 

Bagi mendapatkan album penuh program ini, sila klik di sini

 

Login Form