Sunday, October 21, 2018
   
Text Size

Majlis Pecah Tanah bagi Kompleks Anak-Anak Yatim di Kubang Pasu, Kedah

Kubang Pasu, Kedah, 22 Mei 2012- Buat pertama kalinya, Islamic Aid Malaysia telah mengadakan program ‘Pecah Tanah’ bagi Pembinaan Kompleks Kediaman Anak-Anak Yatim & Miskin Islamic Aid Malaysia bertempat di Mukim Temin, Kubang Pasu, Kedah Darul Aman.

Majlis ini telah disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu YB. Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri, Kementerian Pertanian, Industri & Asas Tani. Turut hadir adalah YB Dato’ Zaini Bin Japar, Adun Bukitr Kayu Hitam selaku Pengerusi Program serta Presiden, Islamic Aid Malaysia (IAM), YBhg. Encik Zawahir Abdullah dan YBhg. En Lokman Mahmood, Pengarah Urusan LKMD Architecure Sdn.Bhd.

Program bersejarah ini merupakan  salah satu daripada projek kemanusiaan peringkat tempatan anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) di bawah program `Komuniti Setempat’.  Melalui program ini, pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) bercadang untuk membina sebuah Kompleks Kediaman Anak-Anak Yatim & Miskin bagi kemudahan anak-anak yatim dan miskin disekitar Kubang Pasu dan Bukit Kayu Hitam.

Kompleks ini bakal dibina dengan berkonsepkan wakaf dan ia merupakan Kompleks Anak-anak Yatim & Miskin yang termoden di negeri Kedah. Ia dijangka dapat menampung seramai 200 orang kanak-kanak dan mempunyai kemudahan prasarana serba moden dan lengkap seperti perpustakaan, pejabat pentadbiran, dewan makan, bilik mesyuarat, bilik seminar, kemudahan komputer dan internet, surau, kemudahan riadah serta kediaman kakitangan dan yang paling istimewa, bilik kediaman asrama yang bakal dibina ini berkonsepkan apartmen, tidak seperti mana rumah-rumah anak yatim yang lain dimana kemudahan asramanya atau bilik tidur yang berbentuk dormitari. Setiap bilik hanya akan menempatkan seramai 6 orang pelajar sahaja bagi memastikan keselesaan mereka. Kompleks ini turut menempatkan 4 unit kediaman bagi kemudahan kakitangan kompleks ini kelak.

Pembinaan Kompleks ini akan dibiayai sepenuhnya melalui program Pembangunan  ”Al-Waqaf Lil Hayah” atau lebih dikenali dengan Tag Line - Pelaburan Sepanjang Hayat.  Pembinaan Kompleks Kediaman Anak-Anak Yatim & Miskin ini akan dibina diatas sebidang tanah seluas 4 Hektar dan dijangka akan memulakan pembinaannya pada tahun hadapan.

Melalui program ini, turut diadakan adalah penyerahan sumbangan berbentuk pek makanan kepada 50 orang warga fakir dan miskin disekitar daerah Kubang Pasu. Pek makanan tersebut mengandungi bahan makanan asas seperti beras, gula, tepung, sardin, susu dan sebagainya. Lebih menarik, program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama sepenuhnya daripada Pejabat YB Dato’ Zaini Jaini yang juga merupakan Adun, Bukit Kayu Hitam.

Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada pihak yang telah terlibat secara langsung dalam pembinaan ‘Kompleks Kediaman Anak-Anak Yatim& Miskin ini.
‘Kami akan buat yang terbaik dalam memastikan impian untuk membina kompleks Kediaman Anak-Anak Yatim & Miskin termoden ini dapat direalisasikan. Usaha untuk memberi pendidikan yang terbaik kepada golongan seumpama ini merupakan antara misi kami dalam memperjuangkan nasib anak-anak yatim & miskin. Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan sukarelawan IAM yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini serta rakan-rakan daripada Pejabat Adun, Bukit Kayu Hitam.


 

Bagi mendapatkan album penuh majlis ini, sila klik di sini

 

Login Form