Tuesday, June 19, 2018
   
Text Size

Projek Perpustakaan Anak Yatim di Kuala Perlis, Perlis

 

Kg Behor Masjid, Kuala Perlis 14 Oktober 2012- Menjejaki mereka yang kurang berkemampuan khusunya anak-anak yatim merupakan satu usaha kebajikan oleh Islamic Aid Malaysia(IAM) dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat tempatan.

Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (Islamic Aid  Malaysia) dengan kerjasama Takaful Ikhlas Sdn.Bhd. hari ini telah mengadakan satu program kemanusiaan bagi membantu masyarakat setempat yang memerlukan melalui program ‘Perpustakaan Rumah Anak Yatim’ di Rumah Anak Yatim Darul Falah Ummi Aishah, Kg Behor Masjid, Titi Serong, Kuala Perlis, Perlis.

Projek “Perpustakaan Rumah Anak Yatim” merupakan salah satu daripada projek tempatan Islamic Aid Malaysia(IAM). Projek unik yang mensasarkan satu rumah anak yatim satu perpustakaan ini merupakan antara bantuan kemanusiaan yang disalurkan melalui sektor pendidikan. Melalui projek ini , pihak IAM berusaha untuk mengumpul dana bagi membeli buku-buku yang bermutu untuk kegunaan rumah-rumah anak yatim di seluruh Malaysia. Sesuai dengan prinsip bantuan kemanusiaan IAM, projek perpustakaan ini terbuka kepada semua rumah anak yatim yang kurang berkemampuan, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan ideologi. Usaha murni Islamic Aid Malaysia ini telah mendapat perhatian daripada sebuah syarikat korporat iaitu Takaful Ikhlas Sdn.Bhd.

Melalui majlis yang istimewa ini, Sebanyak 1,000 naskah buku yang terdiri daripada buku bahasa Melayu  tinggi  dan juga buku bahasa Inggeris yang merangkumi buku rujukan ilmiah serta bacaan umum telah ditempatkan di dalam perpustakaan di rumah kebajikan ini. Selain itu, pihak Islamic Aid Malaysia (IAM)  juga turut menyediakan dua set ensiklopedia edisi pelajar untuk rujukan anak-anak yatim tersebut. Buku-buku ini telah disaring oleh sukarelawan IAM bagi memastikan hanya buku-buku yang bersesuaian dan mempunyai nilai-nilai murni terbaik saja yang disediakan bagi memberi manfaat kepada  penghuni di rumah tersebut.

Menurut En.Zawahir, Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), ‘kami percaya dengan adanya perpustakaan seumpama ini maka ia sedikit sebanyak dapat mendidik anak-anak yatim tersebut untuk menimba ilmu pengetahuan yang akan dapat memberi manfaat kepada kehidupan mereka untuk beroleh kejayaan dimasa hadapan. Kami di IAM melihat perkara ini untuk jangka masa panjang. Pemantauan secara berkala akan dibuat keatas projek perpustakaan ini bagi memastikan penyediaan perpustakaan tersebut akan memberi manfaat kepada mereka’.

Selain itu, beliau juga turut berbangga, di atas penyertaan dan penglibatan rakan kerjasama dan para sukarelawan Islamic Aid Malaysia (IAM). Walau dari latarbelakang yang berbeza, mereka tetap bersatu atas semangat ingin membantu dan sanggup meluangkan masa dan tenaga bagi menjayakan program seumpama ini.

Menurut Naib Presiden Eksekutif Takaful IKHLAS, Haji Wan Fadzlullah bin Wan Abdullah, PROJEK PERPUSTAKAAN ANAK-ANAK YATIM & MISKIN Darul Falah Ummi Aishah merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Takaful IKHLAS di bawah segmen pendidikan.

“Menyertai projek perpustakaan yang dianjurkan bersama dengan Islamic Aid Malaysia ini adalah untuk sama-sama membantu golongan yang memerlukan. Di atas kesedaran sebagai warga korporat yang bertanggungjawab di dalam pelaksanaan muamalat Islam, Takaful IKHLAS sentiasa perihatin dengan nasib serta kesusahan golongan yang memerlukan.  Kami sedar, setiap keuntungan dan kejayaan yang dicapai oleh kami pada hari ini juga terdapat bahagian orang lain.”
Penyertaan Takaful IKHLAS di dalam projek usahasama ini adalah merupakan satu langkah berterusan Syarikat untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembentukan masyarakat penyayang. Melalui jenama CSR iaitu “IKHLAS Untuk Komuniti”, Takaful IKHLAS sentiasa berjuang untuk membawa perubahan positif kepada komuniti dengan menyokong pelbagai inisiatif sosioekonomi, pendidikan dan kesihatan secara meluas.

Pihak Islamic Aid Malaysia juga turut mengadakan pelbagai aktiviti bersama-sama anak yatim tersebut. Aktiviti ini melibatkan penyertaan seramai 20 orang sukarelawan Islamic Aid Malaysia. Aktiviti yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk membolehkan anak-anak yatim tersebut untuk berinteraksi dengan para sukarelawan. Dengan adanya aktiviti seumpama ini, maka ia sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada sukarelawan IAM selain berpeluang menghiburkan serta memberi perhatian kepada golongan yang kurang bernasib baik ini.

Bagi mendapatkan album penuh program ini, sila klik di sini

Login Form