Saturday, January 20, 2018
   
Text Size

Perlaksanaan Kasih Qurban 2012

Kg Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, 28 Oktober 2012 - Atas dasar keprihatinan kepada masyarakat luar bandar yang memerlukan, Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia ( Islamic Aid  Malaysia) bersama-sama Takaful Ikhlas Sdn Bhd  telah mengadakan program Korban Perdana di Taman Rekreasi, Kg.Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan.

Program ‘Korban Perdana 2012/1433H’ anjuran Islamic Aid Malaysia dan dibiayai oleh Takaful IKHLAS ini merupakan program kerjasama dengan penduduk setempat dari Qariah Masjid Kg Besar, Gemas Negeri Sembilan bersempena sambutan perayaan Eidul-Adha yang jatuh pada 26hb Oktober 2012.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin, Ybhg. Tuan Haji Razali B Bakar dan turut hadir adalah YBhg. Haji Wan Mohd Fadzlullah Wan Abdullah, Naib Presiden Eksekutif, Takaful IKHLAS serta Presiden, Islamic Aid Malaysia (IAM), YBhg. Encik Zawahir Abdullah. Program ini juga turut disertai oleh sukarelawan-sukarelawan Islamic Aid Malaysia, kakitangan Takaful IKHLAS serta penduduk setempat dari beberapa buah kampung berhampiran.

Melalui majlis ini, sebanyak 15 ekor lembu dan 10 ekor kambing telah disembelih hasil sumbangan daripada kakitangan Takaful IKHLAS. Seramai lebih kurang 300 keluarga dari kawasan berdekatan iaitu Kg. Pasir Besar, Taman Pasir Besar, Kg. Kurnia Diraja dan beberapa buah komuniti berdekatan yang layak menerima sumbangan hadir pada majlis tersebut. Di antara penerima manfaat adalah terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas, anak-anak yatim dan keluarga OKU yang telah dikenalpasti.

Selain daripada itu, penerima manfaat yang hadir pada majlis ini turut menerima sumbangan zakat daripada pihak Takaful IKHLAS yang berupa barangan keperluan asas harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin, biskut dan lain-lain lagi. Sumbangan barangan tersebut adalah bertujuan untuk meringankan beban mereka tatkala menyambut perayaan Hari Raya Korban. Di samping itu juga, pihak Takaful IKHLAS memberikan sumbangan zakat perniagaannya sebanyak RM10,000 kepada pihak Masjid Kg Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan. Bagi menceriakan penerima manfaat yang hadir pada majlis tersebut, turut diadakan adalah jamuan makan tengahari di mana sebahagian daripada daging korban tersebut telah dimasak untuk dinikmati bersama-sama. Lebih menarik lagi aktiviti ini dilakukan secara bergotong-royong yang melibatkan penyertaan daripada penduduk setempat dan sukarelawan dari Islamic Aid Malaysia dan juga kakitangan Takaful IKHLAS.

Program “KORBAN PERDANA 2012/1433H” ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia khususnya warga miskin yang memerlukan dari kawasan pedalaman merasai nikmat korban sebagaimana yang dirasai oleh mereka yang tinggal di kawasan bandar. Sebagai sebuah badan NGO, Islamic Aid Malaysia memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahu pun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan ibadah korban di peringkat tempatan dan luar negara.

Konsep pengagihan daging korban yang dilaksanakan oleh Islamic Aid Malaysia adalah lebih bersistematik dan teratur di mana golongan yang amat memerlukan khususnya di kawasan luar bandar menjadi agenda utama Islamic Aid Malaysia dalam menyampaikan amanah orang ramai.

Selain program Korban Perdana yang diadakan di Kg Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, Islamic Aid Malaysia turut melaksanakan program Korban di negeri Kelantan iaitu di Kg ToK Uban, Kg Salor, Pasir Mas dan Kg Gunung, Bachok manakala program Korban di negeri Kedah dan Selangor diadakan secara serentak pada hari raya kedua. Dengan adanya penganjuran program Korban oleh Islamic Aid Malaysia di beberapa buah negeri di Semenanjung, ia akan memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk menikmati daging korban, walaupun jauh berada di kawasan luar bandar dan di pedalaman.

 

 

Bagi album penuh Perlaksanaan Kasih Qurban IAM sila klik link di bawah

Program Korban Perdana IAM & Takaful Ikhlas, di Gemas, Negeri Sembilan

Kasih Korban di Pasir Mas, Kelantan

Kasih Korban di Bachok Kelantan

Kasih Korban di To'Uban Kelantan

Login Form