Saturday, August 18, 2018
   
Text Size

Bonanza Amal Rendang Tok

 

Kuala Lumpur, 30 Mac  2013-  Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama KLfm dan  Jabatan Muzium Malaysia telah menganjurkan program ’ ‘ Bonanza Amal Rendang Tok’ bertempat di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur . Majlis ini telah disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu YBhg.  Encik Kamarul Baharin Bin A.Kassim, Pengarah Muzium Negara, Jabatan Muzium Malaysia.Turut hadir adalah Presiden, Islamic Aid Malaysia (IAM), YBhg. Encik Zawahir Abdullah serta Puan Normah Abd Aziz, Pengurus KLFM.

Bonanza Amal anjuran Islamic Aid Malaysia ini memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak tahun 2011. Konsep program amal ini adalah dengan mengumpul dan menjual semula barangan terpakai yang disumbangkan oleh orang ramai di mana hasil daripada jualan barangan ini akan disalurkan kepada  golongan yang kurang berkemampuan melalui aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemanusiaan anjuran IAM di seluruh Malaysia. Usaha murni ini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada radio KLFM dan Jabatan Muzium Malaysia yang begitu prihatin terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh Islamic Aid Malaysia (IAM).

Bagi menjayakan program ini, pihak radio KLFM  telah membantu  dari aspek promosi serta hebahan kepada orang ramai tentang program ini . Manakala pihak Jabatan Muzium Malaysia telah menjadi lokasi untuk pengumpulan barangan terpakai.  Aktiviti pengumpulan barangan terpakai ini telah berjalan lebih kurang 3 minggu dengan pembukaan pusat pengumpulan barangan terpakai di Muzium Negara. Dengan adanya pusat pengumpulan ini,  ianya amat memudahkan orang ramai untuk menyumbang kepada kempen ini. 

Melalui program yang istimewa ini, pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, barang perhiasan, barangan elektrik, kasut, beg tangan, buku-buku dan lain-lain telah dijual pada harga serendah RM2. Kesemua barangan yang dijual ini telah disaring oleh para sukarelawan

Lebih menarik, program ini juga bertujuan untuk mempromosikan makanan tradisional kebudayaan melayu di mana makanan istimewa ‘Rendang Tok’ ini telah disenaraikan secara rasminya sebagai salah satu daripada 100 hidangan tradisi oleh Jabatan Warisan Negara. Melalui program ini sebanyak 8 kawah ‘Rendang Tok’ telah dimasak dan sebanyak 2,000 pek ‘Rendang Tok’ telah dapat dihasilkan untuk dijual dengan harga serendah RM5/pek  bagi tujuan kebajikan.

Program santai sambil beramal ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan diantara sukarelawan pertubuhan dan juga bagi mewujudkan sifat keprihatian dan menyemai semangat kesukarelawan dikalangan masyarakat. Seramai 80 orang sukarelawan telah terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini dan seramai 40 orang pelajar daripada Universiti Teknologi Mara(UITM), Puncak Alam, Selangor telah turut serta dalam program amal ini.

Selain jualan amal, program ‘Bonanza Amal’ ini turut diserikan lagi dengan penampilan DJ (penyampai-penyampai) radio KLfm serta persembahan artis-artis tempatan seperti Farawahida, REM, Shiha(Mentor), Anas Ridzuan(Mentor),  Aisha(Bintang RTM)  dan lain-lain serta penampilan istmewa pelakon-pelakon teater muzikal ’Asmara Songsang’

Program amal ini merupakan  salah satu daripada program peringkat tempatan anjuran  Islamic Aid Malaysia ( IAM).  Melalui program ini, pihak IAM telah menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin untuk mendermakan barangan terpakai untuk dijual semula dan hasil bagi jualan tersebut akan disalurkan kepada adik Annur.

Menurut En.Zawahir Abdullah, Presiden, Islamic Aid Malaysia(IAM), “Pertubuhan ini telah ditubuhkan setelah melihat kepada keperluan dan situasi semasa, di mana pihak kami merasakan perlu ada satu organisasi yang  prihatin kepada keperluan masyarakat setempat khususnya di Malaysia sendiri.”

Menurutnya lagi, Program `‘Bonanza Amal Rendang Tok’ ` ini merupakan antara program tempatan yang telah direncanakan oleh pihak IAM untuk tahun 2013 bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan. Beliau turut percaya bahawa  program seumpama ini pasti menjadi pilihan dan tumpuan membeli-belah untuk golongan sederhana dan bawahan yang mahukan pelbagai barangan berjenama pada harga yang murah. Langkah mengitar semula barangan dan bahan terpakai adalah usaha murni kerana mengurangkan sampah serta menjimatkan perbelanjaan berikutan harganya jauh lebih murah berbanding barangan baru. Melalui kempen yang dijalankan hanya dalam masa  lebih kurang 3 minggu ini, telah memperlihatkan tanda keprihatinan Malaysia dan harus dipuji kerana kebanyakan barang yang didermakan berada  dalam kualiti yang baik malahan turut  ada barangan baru yang masih belum digunakan lagi didermakan.

Menurutnya lagi, program seumpama ini akan menjadi platform kepada orang ramai untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha kemanusiaan. Penglibatan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti golongan selebriti sebagai sukarelawan amat dialu-alukan bagi menjayakan usaha murni ini dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.

 

 

Bagi mendapatkan album penuh program, sila klik di sini

Login Form