Saturday, August 18, 2018
   
Text Size

Program Baik Pulih Rumah Ibu Tunggal Warga Emas

 

 

Kangar, 26 April 2013 - Islamic Aid Malaysia (IAM) sekali lagi bekerjasama dengan Takaful Ikhlas Sdn Bhd dalam menjayakan  ‘Projek Baik Pulih & Bantuan Kelengkapan Rumah” bersempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2013. Program kerjasama kemanusiaan ini merupakan salah satu usaha yang bertujuan untuk menyediakan tempat perlindungan yang sempurna dan selesa bagi mereka yang memerlukan.

Penerima bantuan projek ini ialah Puan Bunga Bt Suboh, seorang ibu tunggal yang berusia 56 tahun dan tidak bekerja kerana menghadapai masalah kesihatan. Projek ini melibatkan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan bagi memberi keselesaan kepada keluarga Puan Bunga khususnya cucu beliau yang turut tinggal bersamanya. Kerja baik pulih rumah yang melibatkan bahagian bumbung, lantai, bilik air, dapur,pendawaian elektrik, perparitan serta mengecat telah bermula sejak lebih sebulan yang lalu.

Satu sesi lawatan bersama media telah diadakan hari ini untuk melihat perkembangan keluarga ini. Hadir pada majlis tersebut ialah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Md Isa Bin Sabu, Menteri Besar Perlis, Encik Sharkawi Alis, Pengerusi Kumpulan  MNRB, dan Encik Ab Latiff Abu Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS. Turut hadir, Encik Mohd Din Merican, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB serta Presiden Islamic Aid Malaysia, Encik Zawahir Abdullah.

Selain daripada itu, Puan Bunga juga turut menerima sumbangn kelengkapan rumah yang serba baru seperti peti sejuk, dapur memasak, cerek, periuk elektrik, mesin basuh automatik, set meja makan, set ruang tamu, set katil, kipas dan set langsir.

Puan Bunga yang kehilangan suami sejak 10 tahun lalu di awal pertemuan amat teruja dengan bantuan yang diterimanya. Beliau ketika ditemui dirumahnya berkata, “Alhamdulillah, akhirnya impian saya benar-benar menjadi kenyataan dan kami sekeluarga tidak perlu bimbang lagi bila hujan lebat di waktu malam kerana semuanya telah dibaiki dan diganti”. Puan Bunga turut meluahkan ucapan terima kasih kepada pihak Takaful IKHLAS dan IAM yang menganjurkan program ini. “Saya benar-benar terharu kerana masih ada pihak diluar sana yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga” ujarnya.

 

Bagi album penuh program ini, sila klik di sini

 

Login Form