Monday, June 18, 2018
   
Text Size

Majlis Pelancaran Imarah Ramadan 2013

 

Kuala Lumpur, 03 Julai  2013-  Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Radio IKIMfm  telah melancarkan program ‘ Imarah Ramadan- Bantulah Mereka Berbuka Puasa’ bagi memeriahkan sambutan bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba tidak berapa lama lagi.

Majlis ini telah disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu YBhg.  En Nik Roskiman bin Abdul Samad, Pengarah Pusat Media, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Turut hadir adalah Presiden, Islamic Aid Malaysia (IAM), YBhg. Encik Zawahir Abdullah.

Program “Imarah Ramadan - Bantulah Mereka Berbuka Puasa” ini merupakan program amal tahunan Islamic Aid Malaysia (IAM). Ianya bertujuan membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan di bulan Ramadan. Program ini melibatkan pengagihan pek makanan yang mengandungi makanan asas harian seperti beras, gula, tepung, minyak masak, sardin, susu dan lain-lain lagi di seluruh Malaysia kepada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan kurang upaya (OKU) agar mereka dapat  menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan dengan lebih selesa.

Majlis  ini juga turut menyaksikan penyerahan sumbangan 20  pek makanan program “Imarah Ramadan” yang pertama untuk tahun 2013/1434H kepada golongan istimewa yang terdiri daripada warga orang kerdil, ibu tunggal miskin dan golongan yang kurang berkemampuan.

Lanjutan daripada itu, atas dasar keprihatinan terhadap  usaha-usaha kemanusiaan dan kebajikan yang dijalankan oleh  Islamic Aid Malaysia serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial kepada masyarakat tempatan khususnya, pihak Radio IKIM.fm akan terlibat secara langsung dalam menjayakan misi  program ‘Imarah Ramadan - Bantulah Mereka Berbuka Puasa’ ini.

Melalui program istimewa ini, para penyampai  radio  IKIMfm  bersama-sama sukarelawan Islamic Aid Malaysia (IAM) akan berkunjung ke beberapa lokasi yang terpilih di Perlis, Kedah, Kelantan dan Pahang bagi tujuan menghulurkan sumbangan. Penjelajahan selama hampir sebulan di empat buah negeri ini bukan sekadar untuk menghulurkan sumbangan semata-mata, tetapi juga melibatkan pengisian program yang berunsurkan dakwah dan kerohanian bagi tujuan mengimarahkan lagi sambutan bulan Ramadan pada tahun ini.  Orang ramai khususnya pendengar setia Radio IKIM.FM boleh mendengar secara eksklusif berkaitan misi jelajah “Imarah Ramadan” ini  melalui Radio IKIM.FM dari masa ke semasa.

Menurut Presiden IAM, En  Zawahir Abdullah, melalui kempen ini, orang ramai juga boleh turut serta dengan menyumbang sebanyak RM50 bagi satu pek lengkap makanan keperluan asas harian untuk sebuah keluarga di mana ianya dapat membantu meringankan beban keluarga tersebut selama dua hingga tiga minggu di sepanjang bulan Ramadan. Beliau juga turut menyeru golongan korporat untuk turut serta dalam menjayakan program ini bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi menyambut kehadiran bulan Ramadan.

Pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) telah mensasarkan untuk mengagihkan pek makanan tersebut kepada 5,000 penerima manfaat dari seluruh Malaysia termasuklah daripada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal miskin, anak-anak yatim, golongan kurang upaya (OKU)  dan mereka yang layak mengikut pemerhatian dan kriteria yang telah ditetapkan oleh IAM. Kempen ini akan bermula mulai hari ini dan akan diteruskan di sepanjang bulan Ramadhan 1434H/2013.  Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Islamic Aid Malaysia (IAM) iaitu www.iam.org.my atau menghubungi pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) di talian 03-89486334/019-3973558.

 

Login Form