Friday, October 19, 2018
   
Text Size

Jejak Prihatin 2014

 

KUALA SALA, Kedah– (06 Sept 2014).  Prihatin dengan nasib mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan, Etiqa Takaful Berhad telah tampil sebagai rakan kemanusiaan dalam menjejaki mereka yang kurang berkemampuan bersama masyarakat Utara  anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) yang diadakan di Kg Seberang Jaya, Kuala Sala, Kedah.

Program ‘Jejak Prihatin’ bersama komuniti anjuran IAM ini turut disertai oleh sukarelawan IAM dan 60 orang kakitangan serta pihak pengurusan Etiqa Takaful Berhad dari ibu pejabat di Kuala Lumpur ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat kampung khususnya golongan nelayan  dari sekitar Kg.Seberang Jaya,Kuala Sala,Kedah.

Melalui program ini, pihak Etiqa Takaful Berhad, sebagai rakan kemanusiaan telah membiayai sumbangan berbentuk pek makanan kepada 100 buah keluarga yang melibatkan penduduk di sekitar kawasan Kuala Sala, Kedah khususnya golongan nelayan. Setiap penerima manfaat menerima sumbangan berupa Pek Makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin, biskut dan lain-lain lagi  serta sumbangan wang tunai bernilai RM50 untuk setiap seorang. Penerima sumbangan ini terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal miskin, warga emas miskin dan juga golongan orang kurang upaya(OKU) miskin yang telah dikenalpasti layak menerima bantuan.

Sumbangan telah disampaikan oleh Encik Rosli Bin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif, Kawasan Utara, Etiqa Insurans & Takaful. Turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut ialah En Zawahir Abdullah, Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Encik Badrul Hizal, Pengurus Wilayah, Takaful Keluarga Etiqa dan Encik Mohd Azmer Midin, Pengurus Wilayah Insurans Am, Etiqa Insurans & Takaful.

Selain daripada itu, program ini juga turut memberi manfaat kepada 10 nelayan terpilih, melalui sumbangan 10 set ‘pukat tangsi’ berserta batu timah dan pelampung serta menerima bantuan bagi membaikpulih dan mengecat bot-bot mereka yang telah uzur.

Melalui program ini, pelbagai aktiviti kemanusiaan telah diadakan di dalam usaha pihak IAM & Etiqa Takaful Berhad melaksanakan tanggungjawab sosial untuk komuniti setempat. Antaranya aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan jeti serta aktiviti gotong-royong memasak dalam penyediaan makanan untuk menjamu penerima manfaat serta masyarakat kampung setempat yang diadakan di tepi Jeti Kuala Sala.

Uniknya, aktiviti membaik pulih dan mengecat bot nelayan ini telah dilaksanakan secara bergotong-royong dan melibatkan penyertaan daripada 60 orang kakitangan Etiqa Takaful Berhad yang telah berganding bahu bersama-sama sukarelawan dari Islamic Aid Malaysia (IAM) dan warga nelayan terbabit

Pada sesi petang, satu kunjungan kemanusiaan telah diadakan di Sek.Ren. Islam Raudhatul Muslimin yang terletak Sg.Kembal,Kuala Ketil, Kedah di mana Sekolah ini turut menerima bantuan zakat berjumlah RM430,532.01 daripada pihak Etiqa Takaful Berhad. Bantuan ini adalah bertujuan untuk menyiapkan bangunan dan kelas Sekolah   tersebut yang telah lama tergendala pembinaannya kerana masalah kewangan. Sumbangan telah disampaikan oleh YBhg.Encik Ahmad Rizlan Bin Azman, Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Takaful Berhad kepada Pengetua Sekolah tersebut. Melalui kunjungan ini, turut diagihkan adalah pek makanan serta sumbangan wang tunai RM50 kepada 100 orang penerima manfaat dari sekitar Kuala Ketil,Kedah. Penerima sumbangan ini terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal miskin, warga emas miskin dan juga golongan orang kurang upaya(OKU) miskin yang telah dikenalpasti layak menerima bantuan.

Selain daripada itu, aktiviti permainan berteraskan ilmiah turut diadakan melibatkan penyertaan semua pelajar dari sekolah tersebut seramai 300 orang dan kakitangan Etiqa Takaful Berhad serta sukarelawan Islamic Aid Malaysia (IAM).


 

Bagi album penuh program, sila klik pautan di bawah

Jejak Prihatin Kedah-Bantuan Pukat Untuk Nelayan

Jejak Prihatin-Kuala Ketil, Kedah

 

Login Form