Monday, November 20, 2017
   
Text Size

Bantuan Banjir

Rayuan Bantuan Mangsa Bencana IAM

Atas dasar keprihatinan terhadap mangsa banjir di negeri Kelantan dan Terengganu, khususnya warga miskin yang terjejas teruk akibat bencana banjir, Islamic Aid Malaysia, sedang mengadakan beberapa siri bantuan kemanusiaan terus ke rumah mangsa-mangsa banjir yang tidak sempat untuk berpindah ke pusat Pemindahan Mangsa Banjir yang disediakan. Bantuan juga disalurkan kepada mangsa yang menghadapi masalah pengangkutan serta terputus hubungan melalui jalan darat untuk ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.

Melalui program ini, pihak Islamic Aid Malaysia akan membekalkan pek-pek berupa makanan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung, mee segera, sardin, biskut, susu dan lain-lain. Selain daripada itu, pihak Islamic Aid Malaysia juga akan membekalkan “hygiene pack” serta barangan lain seperti tuala mandi, cadar berserta alas tidur bertujuan meringankan beban mangsa banjir ketika berada di pusat perpindahan sementara atau di kawasan yang dinaiki air serta di kampung atau di rumah-rumah yang telah terputus hubungan.

Bantuan akan disalurkan secara terus oleh rakan sukarelawan Islamic Aid Malaysia mengikut lokasi yang akan ditetapkan. Misi ini mempunyai objektif untuk  membantu mangsa banjir yang mungkin terpaksa berada di pusat pemindahan banjir sementara menunggu air surut selain meringankan beban warga miskin yang hilang mata pencarian kerana tidak dapat bekerja ketika musim tengkujuh khususnya penoreh getah, nelayan dan juga mereka-mereka yang bekerja kampung.

Lanjutan daripada itu, bagi merealisasikan misi kemanusiaan ini dalam membantu mangsa banjir, pihak pertubuhan amat mengalu-alukan sokongan dan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi ini.

Sebarang bantuan atau sumbangan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Islamic Aid Malaysia di www.iam.org.my atau menghubungi kami di talian 03-89485939 atau 019-3973558. Keprihatinan dan sokongan anda amat bermakna buat kami.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03 8948 5939 / 019-3973558
Bagi sumbangan secara online sila klik SAYA INGIN MENGHULURKAN SUMBANGAN ( sila pilih kategori Mangsa Bencana Alam)

Login Form