Friday, October 19, 2018
   
Text Size

Jelajah IMARAH RAMADAN 1436H/2015 IAM-IKIMfm

 

Prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan dalam menyambut bulan Ramadan yang lalu, pihak Islamic Aid Malaysia(IAM) dengan kerjasama Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) terus bekerjasama dalam menganjurkan program ’Imarah Ramadan 1436H’.

Memasuki tahun ke keempat penganjurannya, program ‘Imarah Ramadan 1436H’  diteruskan lagi untuk tahun ini bagi memenuhi tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang memerlukan dalam bulan Ramadan. Pada tahun lepas, seramai lebih 5,000 warga miskin dan memerlukan dari seluruh Malaysia  telah menerima manfaat daripada program ini. Program khusus ini merupakan program amal pengagihan pek makanan keperluan harian kepada golongan fakir miskin dan juga golongan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban golongan tersebut untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Setiap penerima sumbangan telah menerima sumbangan berupa Pek Makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan asas harian seperti beras, gula, minyak masak, susu, makanan dalam tin, kurma dan lain-lain lagi.

Program yang bertemakan ’Bantulah Mereka Berbuka Puasa’ ini juga turut melibatkan kempen kutipan dana daripada orang ramai bagi membantu golongan tersebut sempena bulan Ramadan. Bagi menjayakan misi program ‘Imarah Ramadan 1436H’, pihak IKIMfm telah mempromosikan program tersebut dari masa ke semasa bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk turut sama beramal jariah dengan memberikan sumbangan.

Melalui program istimewa ini, para penyampai  radio  IKIMfm  bersama-sama sukarelawan Islamic Aid Malaysia (IAM) telah berkunjung ke beberapa lokasi yang terpilih di sekitar Wilayah Persekutuan, Perak, Melaka dan Kelantan bagi tujuan menghulurkan sumbangan. Penjelajahan selama hampir sebulan di empat buah negeri ini bukan sekadar untuk menghulurkan sumbangan semata-mata, tetapi juga melibatkan pengisian program yang berunsurkan dakwah dan kerohanian bagi tujuan mengimarahkan lagi sambutan bulan Ramadan pada tahun ini.  

Aktiviti
Selain daripada itu, program istimewa ini turut diserikan lagi dengan penampilan istimewa penyampai-penyampai IKIMfm seperti Dj Fairuz, Dj Faesz, Dj Erwan, Dj Syafiq, Dj Nik Hasnah, Dj Mazlina, Dj Farouq lain-lain lagi  yang turun padang bagi memeriahkan majlis dan meraikan para penerima manfaat. Sekiranya sebelum ini, hanya suara mereka saja yang kedengaran, namun melalui program ini, orang ramai boleh melihat mereka secara berdepan dan beramah mesra bersama mereka. Program ini juga turut di isi dengan program ilmiah, dimana sessi tazkirah bersama penceramah jemputan  turut dilaksanakan selama satu jam setengah. Rata-rata pengunjung program ini berasa amat gembira dan teruja dengan pengisian program seumpama ini.

Penjelahan ’Imarah Ramadan’
Bantuan ’Imarah Ramadan 1436H’ ini bersifat lebih menyeluruh, dimana sumbangan disasarkan kepada kepada golongan yang kurang bernasib baik yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, masyarakat orang asli beragama Islam, golongan saudara baru serta golongan kurang upaya (OKU).

Peringkat Wilayah Persekutuan
Penjelajahan ’Imarah Ramadan 1436H’ telah bermula seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadan. Agihan pek makanan ini tertumpu kepada Anak Yatim dan Asnaf dari Pusat Jagaan Nuri,Setapak. Bantuan dihulurkan sebagai persediaan untuk menyambut kehadiran Ramadan.

Selain daripada itu,program ini juga turut memberi manfaat kepada pemandu teksi di sekitar Lembah Klang untuk menerima sumbangan pek Makanan.Seramai 50 orang penerima manfaat terdiri  daripada pemandu teksi yang kurang berkemampuan termasuk golongan OKU dan wanita telah dipillih untuk menerima sumbangan pek makanan ‘Imarah Ramadan’. Selain daripada itu, turut diadakan adalah aktiviti penampalan stiker kenderaan berkaitan kempen ‘Imarah Ramadan’ di 50 buah teksi tersebut.

Peringkat Wilayah Utara
Kunjungan pihak IAM dan IKIMfm di teruskan lagi ke utara tanah air bagi melaksanakan tanggungjawab untuk mengagihkan pek ’Imarah Ramadan’. Lokasi terpilih untuk tahun ini adalah di Rumah Anak Yatim Nurhidayah, Kg.Cheh, Bukit Gantang,Perak. Seramai 100 orang penerima di kalangan ibu tunggal, fakir miskin, anak yatim, warga emas miskin dan golongan kurang upaya (OKU)  sekitar Bukit Gantang,Perak telah menerima manfaat bagi program ini.Antara kampung yang terlibat adalah Kg.Cheh, Kg.Ulu Cheh, Kg.Berchat, Kg.Bukit Chempedak, Kg.Banggol Rendang, Kg.Banggol Nering,Kg.Kubu, Kg.Changkat Ibol, dan Kg.Trong. Para penerima di lokasi ini turut diraikan dengan majlis berbuka puasa serta solat Maghrib secara berjemaah.

Peringkat Negeri Melaka
Misi murni ini turut bertujuan untuk mendekati masyarakat dikalangan saudara baru. Untuk merasai suasana sebenar Ramadan bersama saudara baru, program Imarah Ramadan ini turut berkunjung ke Masjid Cina,Krubung,Melaka. Seramai 100 orang penerima manfaat dikalangan saudara baru dari sekitar Negeri Melaka telah diraikan. Mereka turut menerima sumbangan wang tunai dan diraikan dengan majlis IFTAR.

Peringkat Wilayah Pantai Timur
Melalui program ini juga, pihak IAM dan IKIMfm turut berpeluang untuk berkunjung ke Kota Bahru, Kelantan dalam berkongsi keceriaan di bulan Ramadan. Program istimewa ini telah diadakan di Stesen Kereta Sewa Kota Bahru,Kelantan.  Sebanyak 100 pek Imarah Ramadan telah diagihkan di kawasan ini dan memberi fokus golongan sasar masyarakat dikalangan penarik beca dan pemandu teksi yang kurang berkemampuan.. Selain daripada itu, mereka juga turut menerima sumbangan wang tunai dan diraikan dengan majlis IFTAR. Ini merupakan kunjungan terakhir untuk tahun 2015 bagi program’Imarah Ramadan 1436H’

Aktiviti Sukarelawan
Selain daripada program berbentuk bantuan kemanusiaan, program ’Imarah Ramadan 1436H’ ini turut melibatkan aktiviti sukarelawan. Program yang melibatkan sumbangan berbentuk tenaga dan masa oleh penyampai IKIMfm serta rakan-rakan sukarelawan IAM turut diadakan melalui program pembungkusan ’Pek Makanan Imarah Ramadhan’. Program ini melibatkan aktiviti mengangkat barangan, membuat kotak, memasukkan barangan ke dalam kotak dan aktiviti mengangkat kotak yang telah disi dengan barangan makanan di bulan Ramadhan.

Program istimewa ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama sukarelawan di samping mengisi masa terluang rakan sukarelawan dengan aktiviti yang berfaedah.

Kenyataan oleh En Zawahir bin Abdullah, Presiden Islamic Aid Malaysia(IAM)
Menurut Zawahir, Ini merupakan tahun keempat kempen ’Imarah Ramdhan’, walaupun harga barangan telah berubah. namun pihak IAM tetap mengekalkan sumbangan RM50 untuk satu pek makanan, walaupun hargnya melebihi daripada nilai tersebut.  Ini adalah bagi memberi peluang kepada semua golongan untuk turut serta beramal didalam menjayakan program ’Imarah Ramadhan 1436H’.

”Alhamdulilah, masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang prihatin, hasil kerjasama semua pihak, sumbangan yang diterima dapat digihkan kepada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, dan golongan OKU yang memerlukan. Terima kasih juga diucapkan kepada IKIMfm kerana sentiasa memberi  sokongan dalam usaha kemanusiaan dan terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

Menurutnya lagi, program seumpama ini akan menjadi platform kepada orang ramai untuk melibatkan diri dalam usaha-usaha kemanusiaan. Penglibatan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti golongan selebriti sebagai sukarelawan amat dialu-alukan bagi menjayakan usaha murni ini dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan. Pihaknya juga amat mengalu-alukan sokongan orang ramai dan syarikat korporat untuk turut serta dalam menjayakan program ”Imarah Ramadan 1436H”. Menurutnya lagi, program ini akan diteruskan lagi di bulan Syawal dengan program’Kasih Syawal’ bagi berkongsi keceriaan dalam menyambut lebaran.

 

 

Bagi album penuh program Imarah Ramadan di negeri Kelantan, sila klik disini

Login Form