Thursday, December 13, 2018
   
Text Size

Program Komuniti Sara Hidup Bersama Penarik Beca di Kelantan

 

KOTA BHARU, 12 Mac 2016 -  Prihatin dengan nasib mereka yang kurang berkemampuan, khususnya golongan penarik beca dan juga pemandu kereta sewa di sekitar Kota Bharu, Kelantan, Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Etiqa Takaful Berhad telah bekerja sama untuk menjayakan program ‘Sara Hidup’ di Kelantan baru-baru ini.

Tujuan program ini adalah untuk membantu meringankan beban kehidupan yang dihadapi oleh 100 warga penarik beca serta pemandu kereta sewa di sini. Program unik yang berkonsepkan jangka panjang ini, memberi bantuan terus kepada penarik beca terpilih melalui projek membaik pulih (make over) kesemua beca di negeri Kelantan khususnya dari kawasan Kota Bharu, Pasir Mas dan lain-lain kawasan.

Menurut En Zawahir Abdullah, Presiden, Islamic Aid Malaysia (IAM), “Kami melihat banyak beca-beca yang telah usang, tidak selesa dan tidak menarik untuk dinaiki. Oleh itu, kami telah mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga minggu untuk menggantikan tempat duduk, pelana, roda, pengayuh, penukaran bumbung beca serta mengecat semula beca supaya kelihatan lebih baru dan menarik. Ianya bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada beca-beca tersebut selain mengubah persepsi orang ramai, khususnya para pelancong supaya menggunakan beca sebagai pengangkutan awam dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan penarik beca tersebut.”  

Acara penyerahan beca-beca yang diperbaharui ini telah dilaksanakan oleh YB. Mejar (B) Dato' Haji Md Anizam bin Abd. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perlancongan dan Warisan Kelantan. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Pantai Timur, Etiqa Takaful Berhad, Encik Rohaizad Abdul Rahman, serta Presiden Islamic Aid Malaysia, Encik Zawahir Bin Abdullah.

Acara yang bertemakan ‘Sepetang Bersama Penarik Beca’ ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada beberapa agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan, Tourism Malaysia Kelantan, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) serta MPKB-BRI dan diadakan bersempena dengan kempen ‘Tahun Melawat Kelantan 2016’.

Melalui sebuah lagi program yang dipanggil ‘Jejak Prihatin’, pihak Etiqa Takaful Berhad, turut membiayai sumbangan berbentuk pek makanan kepada 100 orang penarik beca dan juga pemandu kereta sewa yang kurang berkemampuan. Setiap penerima manfaat menerima sumbangan berupa Pek Makanan Asas yang mengandungi barangan keperluan asas harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin, biskut dan lain-lain serta sumbangan wang tunai bernilai RM50 untuk setiap seorang.

Kunjungan pihak IAM & Etiqa Takaful Berhad ke Negeri Kelantan turut memberi manfaat kepada ahli kariah di sekitar Mukim Lubok Pukol melalui penyerahan sebuah ‘Van Jenazah’ kepada Masjid Al-Hasani, Mukim Lubok Pukol, Banggu, Kota Bharu Kelantan yang turut dibiayai oleh Etiqa Takaful Berhad.

 

Login Form