Saturday, June 23, 2018
   
Text Size

Projek Air Di Lenggong Perak

 

Penantian lebih 20 tahun telah berakhir, apabila impian mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih secara berterusan telah dapat diselesaikan.

Latar Belakang Kampung

Kg. Batu Ring & Kg Durau merupakan sebuah perkampungan kecil dibawah gugusan Kampung Beng yang terletak di dalam Mukim Durian Pipit. Ia merupakan sebuah perkampungan tradisional yang terletak di pinggir Tasik Chenderoh.  Jarak kampung ini dari Ipoh adalah kira-kira 60 kilometer, manakala dari Kuala Kangsar 35 kilometer serta mengambil masa selama 35 minit untuk sampai ke sini. Keindahan dan keunikan Homestay (rumah inap) Kampung Beng menjadikan penginapan desa ini popular di kalangan penerbit filem untuk dijadikan lokasi penggambaran.

Kedudukan kampung ini cukup unik kerana dikelilingi tasik dan panorama menghijau. Walaupun mempunyai jalan darat yang menghubungkan kampung ini dari jalan utama, iaitu Jalan Gerik-Kuala Kangsar, keadaan jalan yang kecil serta berbukit dan berliku-liku sejauh hampir 10 km yang hanya sesuai digunakan oleh kenderaan pacuan 4 roda sahaja menyebabkan rata-rata penduduk kampung  ini memilih untuk menggunakan bot atau sampan sebagai kenderaan utama mereka. Boleh dikatakan setiap keluarga mempunyai sebuah bot untuk memudahkan mereka berulang-alik ke tempat lain atau mengangkut barang-barang, Sehingga kini bot atau sampan telah menjadi pengangkutan utama yang digunakan oleh rata-rata penduduk kampung ini termasuk pelajar sekolah yang menggunakan bot setiap hari untuk ke sekolah. Jeti utama untuk ke kampong ini adalah melalui Jeti Pengkalan Pipit. Penduduk kampung ini juga terpaksa menggunakan bot untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu Ring yang terletak di tengah-tengah perkampungan yang terletak di Tasik Raban, Perak ini.

Rata-rata penduduk di Kg Batu Ring & Kg.Durau bekerja sebagai nelayan dan juga penoreh getah dengan purata pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM1,500. Ada juga diantara penduduk di sini yang mengusahakan industri Homestay (rumah inap) dengan pendapatan yang tidak menentu.

Masalah Penduduk

Sumber bekalan air untuk penduduk Kg Batu Ring dan Kg Durau ini adalah daripada empangan yang terletak di atas bukit berhampiran yang telah dibina hampir 20 tahun yang lalu. Disebabkan keadaan empangan yang telah uzur serta terdapat beberapa bahagian yang pecah dan rosak akibat tiada penyelenggaraan yang dibuat, termasuk saluran paip yang bocor kerana sudah terlalu lama, menyebabkan penduduk kampung ini sering dilanda masalah kekurangan dan keputusan bekalan air terutamanya di musim kemarau apabila tekanan air yang turun dari bukit berdekatan terlalu rendah dan tidak sampai ke rumah-rumah mereka.

Prihatin

Rentetan daripada itu, Islamic Aid Malaysia(IAM) dengan kerjasama rakan korporatnya iaitu Etiqa telah menjalin kerjasama strategik dengan mengadakan program kemanusiaan bagi membantu masyarakat setempat yang memerlukan melalui projek `Bekalan Air Bersih’ bertempat di Kg.Batu Ring & Kg.Durau, Lenggong, Perak baru-baru ini.

Projek ini merupakan satu projek untuk komuniti di Kg Batu Ring dan Kg Durau, Lenggong, Perak. Melalui projek ini, IAM dengan kerjasama penduduk kampung telah bergotong royong untuk membaik pulih dan membuat sambungan paip baru di bukit berdekatan bagi tujuan menyalurkan air bersih melalui paip-paip yang telah dipasang sepanjang lebih 2km bagi kegunaan harian penduduk di kedua-dua kampung tersebut.

Air bukit yang diperolehi melalui empangan berdekatan ini telah di salurkan terus ke Paip Utama yang akan menyalurkan air terus ke tangki simpanan dan seterusnya ke rumah-rumah penduduk kampung tersebut. Pembinaan secara bergotong royong akan turut menjimatkan kos secara keseluruhan selain turut mengeratkan silaturrahim di antara penduduk kampung dan pihak penyumbang. Melalui projek ini juga, setiap rumah di Kg.Batu Ring dan Kg.Durau telah dipasang tangki simpanan air untuk kegunaan mereka di  musim kemarau dan sewaktu bekalan air terputus.

Projek komuniti Tanggungjawab Korporat Etiqa (Etiqa Corporate Responsibility) ini bertujuan untuk membantu meringankan beban kesusahan penduduk setempat dalam mendapatkan bekalan air bersih. Projek istimewa ini dibiayai sepenuhnya Etiqa dan dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).

Selain daripada itu, melalui kunjungan ini, turut diadakan adalah aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan surau di Kg.Durau. Seramai lebih 20 orang kakitangan Etiqa telah terlibat dalam aktiviti tersebut. Aktiviti gotong-royong ini melibatkan aktiviti mengecat, pembersihan tandas, pembersihan ruang solat dan juga pembersihan ruang dapur.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Rudy Che Lamin, Ketua Pengedaran Wilayah, Etiqa . Turut hadir ke majlis ini adalah Presiden, Islamic Aid Malaysia (IAM), Encik Zawahir Abdullah,  dan Encik Hamzah Alias, Ketua Pegawai Eksekutif, Wilayah Utara, Etiqa Insurans & Takaful serta En.Mohamad Alias bin Arshad, Ketua Kampung Beng.

Kenyataan Etiqa Insurans & Takaful

Menurut Encik Rudy Che Lamin, Ketua Pengedaran Wilayah, Etiqa

Kami di Etiqa amat berbesar hati dapat bersama-sama dengan Islamic Aid Malaysia dalam menjayakan misi kemanusiaan dengan berkunjung ke Kg.Batu Ring dan Kg Durau, Lenggong,Perak.

’Ini merupakan salah satu daripada  program komuniti Etiqa dalam mendekati masyarakat  bagi melaksanakan tanggungjawab korporat Etiqa. Program ini merupakan platform terbaik bagi  kakitangan Etiqa untuk sama-sama turun padang bagi beramah mesra dengan penduduk kampung yang kurang berkemampuan. Pelaksanaan Projek Bekalan Air Bersih ini dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk disini. Setelah bertahun lamanya  penduduk di Kg. Durau dan Kg. Batu Ring terpaksa mencatu penggunaan air kerana masalah kekurangan air akibat sistem perpaipan yang telah uzur dan rosak.. Kini mereka boleh menarik nafas lega kerana pelaksanaan projek ini telah dapat membantu menyelesaikan masalah mereka ini. Projek ini merupakan satu lagi bukti komitmen kami kearah kehidupan masyarakat sihat di luarbandar melalui slogan kami iaitu Etiqa Cares’ katanya.

Kenyataan Islamic Aid Malaysia

Menurut En Zawahir Abdullah, pula selaku Presiden Islamic Aid Malaysia“Sebagai sebuah badan NGO, Islamic Aid Malaysia (IAM) memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahu pun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dan kebajikan dalam membantu golongan yang memerlukan.

"Kami berbesar hati kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan pihak Etiqa untuk melaksanakan satu projek yang amat bermakna dan berguna kepada penduduk di sini. Projek ini merupakan satu lagi bukti keprihatinan Etiqa dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luarbandar.

"Saya yakin usaha yang dilakukan oleh pihak Etiqa  amat memberi kesan positif dan bermakna buat penduduk kampung ini apatah lagi mereka bakal menikmati sumber air bersih yang berpanjangan selepas ini. Pelaksanaan Projek Bekalan Air Bersih ini telah dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk disini,  selama ini penduduk di Kg. Durau dan Kg. Batu Ring terpaksa mencatu penggunaan air kerana masalah kekurangan air akibat sistem perpaipan yang telah uzur dan rosak .’

Uniknya projek istimewa ini telah dilaksanakan secara bergotong-royong dan ia melibatkan penduduk di Kg.Durau dan Kg.Batu Ring. Saya amat berbangga kerana penduduk disini amat bersatu hati dan mempunyai semangat kerjasama bagi menjayakan projek ini untuk disiapkan dalam  tempoh masa yang telah di tetapkan.’ Katanya.

 

Sementara itu, Penghulu Kg Beng, En Alias Arshad, pula ber­kata, penantian lebih 20 tahun penduduk di Kg.Batu Ring dan Kg.Durau telah berakhir dan pelaksanaan projek ini amat bermakna buat penduduk kam­pung berkenaan yang selama ini mengharapkan bekalan air bersih.

Mewaki­li penduduk kampung Batu Ring & Kg.Durau, beliau amat ber­syukur dan gembira kerana projek bekalan air bersih yang di­nanti-nantikan selama ini ba­gi memudahkan kehidupan se­harian mereka telah pun bermula. Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Etiqa dan Islamic Aid Malaysia kerana prihatin dengan nasib penduduk disini.

“Sudah terlalu lama kami me­nunggu projek bekalan air ber­sih luar bandar ini. Tidak lama la­gi kami boleh menikmati ke­mu­dahan itu dan sudah tentu kami semua berasa gembira. Dengan adanya kemudahan air ini, kehidupan harian penduduk kampung ini akan menjadi lebih mudah ke­rana tidak perlu bersusah-payah meng­angkut air dari sungai setiap hari untuk memasak, mandi dan mencuci pakaian bila keputusan bekalan air di musim kemarau” katanya ketika di temui di Kampung Batu Ring.

Antara temuramah yang dibuat bersama penerima manfaat:

1)      Mohd Amin bin Jerais, Penduduk Kampung

“Saya bersyukur dengan sumbangan ini. Jarang sekali sumbangan seumpama ini dapat kami perolehi. Semoga sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada penduduk di sini yang rata-ratanya warga emas.’

2)      Aliyah Bt Mohamad, Penduduk Kampung

“Alhamdulilah, dapat kami gunakan air bersih juga akhirnya. Selama ini apabila musim kemarau kami terpaksa mencatu penggunaan air. Saya cukup berterima kasih dengan sumbangan ikhlas ini. “

3)      Romizam Mat Piah, Penduduk Kampung

“Saya amat terharu kerana ada pihak yang ambil peduli akan kesusahan kami. Walaupun kami berada dikawasan luar bandar, ada juga yang sudi datang kesini semata-mata ingin hulurkan bantuan ini”

4)     Zamri bin Mat Piah, Penduduk Kampung

“Kini di setiap rumah turut dipasang dengan tangki simpanan air, jika kami nak membeli tentu tidak mampu. Saya gembira dengan sumbangan ini dan amat teruja untuk menggunakan air yang bersih ini. Semoga pihak yang prihatin ini, dimurahkan rezekinya.”

Login Form