Thursday, September 20, 2018
   
Text Size

Ziarah Korban Sri Lanka 1439H/2018

Bersempena sambutan Hari Raya Aidil Adha 1439H baru-baru ini, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Masjid Muhammadi Angkasapuri RTM telah menganjurkan program Ziarah Korban 1439H. Program bermusim anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan di luar bandar dan dari kawasan pendalaman merasai nikmat daging Korban sebagaimana yang dirasai oleh mereka yang tinggal di kawasan bandar. Program yang bertemakan Korban Ke Arah Kebajikan ini juga turut melibatkan kempen kutipan dana daripada orang ramai bagi membantu golongan memerlukan bersempena bulan pelaksanaan Ibadah Korban.

Pada tahun ini, program korban dilaksanakan diperingkat tempatan dan juga antarabangsa. Perlaksanaan korban di peringkat tempatan dan di negara Sri Lanka dilaksanakan sendiri oleh IAM. Manakala bagi program korban di lain-lain negara diperingkat antarabangsa pula dilaksanakan melalui kerjasama bersama "Muslim Aid Malaysia".

Untuk tahun 2018, bagi peringkat Negara Sri Lanka, sebanyak 83 ekor kerbau serta lembu dan 4 ekor kambing telah dikorbankan. Pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan telah dilaksanakan di beberapa kawasan di sekitar Poovarasantheevu, Majeed Nagar, Kakamunai, Solaivettuvan, Maharoof Graman dan juga Soorangal. Pelaksanaan ibadah Korban ini telah dibantu oleh rakan sukarelawan IAM yang terdiri daripada penduduk tempatan. Program ini turut disertai oleh 45 orang peserta dari Masjid Muhammadi Angkasapuri RTM bagi melihat sendiri pelaksanaan ibadah korban tersebut.

Golongan Sasaran

Melalui program ‘Ziarah Korban 1439H’ ini, pihak IAM telah berjaya mengagihkan daging Korban kepada lebih 6,000 keluarga miskin di beberapa buah kampung pedalaman di sekitar kawasan Trincomalee. Pelaksanaan ibadah korban di Sri Lanka ini memfokuskan pengagihan daging segar kepada golongan fakir miskin,anak yatim miskin, ibu tunggal miskin, warga emas  dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kenyataan Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM)

Mengulas mengenai program “Ziarah Qurban 1439H” tersebut, Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah berkata, program ini merupakan antara program kemanusiaan yang diadakan oleh IAM setiap tahun bertujuan membantu meringankan beban keluarga fakir miskin yang kurang berkemampuan.

“ Saya cukup terharu dengan suasana kawasan di sekitar Trincomale, rata-rata masyarakatnya dibelenggu dengan kemiskinan khususnya masyarakat Islam.  Melalui tinjauan kami, kebanyakan kawasan muslim di Trincomale jarang melaksanakan ibadah Qurban rentetan daripada faktor kemiskinan mereka. Lebih unik lagi pelaksanaan ibadah Qurban di negara Sri Lanka tidak terhad kepada lembu saja tetapi ia turut melibatkan Kerbau. Semoga dengan pelaksanaan ibadah Qurban di kawasan Trincomalee ini dapat memberi peluang kepada masyarakat Islam terpinggir di Sri Lanka merasai nikmat daging Qurban.

Pihak kami juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Masjid Muhammadi Angkaspuri RTM, para penyumbang yang prihatin, rakan-rakan media serta  sukarelawan daripada Sri Lanka kerana prihatin dengan usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh IAM. Semoga kerjasama kemanusiaan ini tidak terhenti setakat ini sahaja, dan diharapkan ia dapat dipanjangkan kepada program-program yang lain.

Senarai Nama Peserta Qurban 2018

Login Form