Login

Signup

Posted By

ZIARAH QURBAN 1441H/2020 –NORMAL BAHARU

August 5, 2020 | 0 Comments
featured-image

Bersempena sambutan Hari Raya Aidil Adha 1441H/2020 baru-baru ini, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Masjid Muhammadi Angkasapuri RTM telah menganjurkan program  Ziarah Korban 1441H/2020.  Program bermusim anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) ini bermatlamat untuk memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan di luar bandar dan dari kawasan pedalaman merasai nikmat daging Korban sebagaimana yang dirasai oleh mereka yang tinggal di kawasan bandar. Program yang bertemakan Korban Ke Arah Kebajikan ini juga turut melibatkan kempen kutipan dana daripada orang ramai bagi membantu golongan memerlukan bersempena bulan pelaksanaan Ibadah Korban.

Pada tahun ini, program korban dilaksanakan diperingkat tempatan dan juga antarabangsa. Perlaksanaan korban di peringkat tempatan dan di negara Sri Lanka telah dilaksanakan sendiri oleh IAM. Manakala bagi program korban di lain-lain negara diperingkat antarabangsa pula dilaksanakan melalui kerjasama bersama “Muslim Aid Malaysia”. 

Pelaksanaan ibadah Qurban pada tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya kerana berdepan dengan ujian COVID19. Bagi peringkat tempatan, sebanyak 3 ekor lembu dan 4 ekor kambing telah di sembelih bagi pelaksanaan ibadah Qurban. Program tersebut telah diadakan di Mukim Lubuk Setol dan juga Kg. Laha  Pulau Chondong, Kelantan. Seramai lebih 200 keluarga dari sekitar Kg.Padang Bukit, Rantau Panjang, Kg.Pangkal Kalong, Kg.Laha, Pulau Chondong, Kok Lanas dan disekitar Melor telah mendapat manfaat daripada pengagihan daging Qurban tersebut.

Untuk tahun 2020, bagi peringkat Negara Sri Lanka, sebanyak 50 ekor lembu dan 4 ekor kambing telah dikorbankan. Pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan telah dilaksanakan di beberapa kawasan di sekitar kawasan Wilayah Trincomalee dan juga di beberapa daerah dimana penduduknya beragama Islam iaitu di Poovarasantheevu, Majeed Nagar, Kakamunai, Solaivettuvan, Maharoof Gramam dan Soorangal . Pelaksanaan ibadah Korban ini telah dibantu oleh rakan sukarelawan IAM yang terdiri daripada penduduk tempatan. Pelaksanaan ibadah korban di Sri Lanka ini memfokuskan pengagihan daging segar kepada golongan fakir miskin,anak yatim miskin, ibu tunggal miskin, warga emas  dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kenyataan Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM)

Mengulas mengenai program “Ziarah Qurban 1441H” tersebut, Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah berkata, program ini merupakan antara program kemanusiaan yang diadakan oleh IAM setiap tahun bertujuan membantu meringankan beban keluarga fakir miskin yang kurang berkemampuan.

“ Pada tahun ini kita diuji dengan penularan wabak COVID19. Pastinya ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti kami dalam usaha-usaha kemanusiaan. Namun begitu, aktiviti ibadah Qurban ini mash lagi diteruskan seperti tahun sebelumnya tetapi pelaksanaannya berbeza dengan pendekatan ‘Normal Baharu’. Kami tidak dapat turut serta program di Sri Lanka tetapi ia masih lagi diteruskan dengan kerjasama daripada rakan-rakan sukarelawan IAM di Sri Lanka. Alhamdulilah dan tahniah diucapkan buat sukarelawan kami di Sri Lanka kerana pelaksanaan ibadah Qurban telah dapat dilaksanakan dengan sempurna. Lebih menarik lagi para peserta Qurban dapat melihat pelaksanaan ibadah Qurban tersebut secara ‘Live di Facebook’.  

Semoga dengan pelaksanaan ibadah Qurban di kawasan pedalaman Sri Lanka ini dapat memberi peluang kepada masyarakat Islam terpinggir di Sri Lanka merasai nikmat daging Qurban.

Pihak kami juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Masjid Muhammadi Angkaspuri RTM, para penyumbang yang prihatin serta  sukarelawan daripada Sri Lanka kerana prihatin dengan usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh IAM. Semoga kerjasama kemanusiaan ini tidak terhenti setakat ini sahaja, dan diharapkan ia dapat dipanjangkan kepada program-program yang lain.

Untuk melihat senarai nama peserta Qurban, sila Klik di sini: