“Semangat Baharu, Harapan Baharu.”
Program ‘Kembali Ke Sekolah’ merupakan program amal tahunan yang bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persediaan untuk sesi persekolahan baharu. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama rakan korporat dan memberi tumpuan kepada anak-anak yatim, kanak-kanak kurang bernasib baik serta golongan memerlukan di kawasan bandar dan luar bandar.
Melalui program ini, setiap pelajar yang terpilih akan menerima kelengkapan persekolahan lengkap sebelum bermulanya sesi persekolahan. Inisiatif ini bertujuan memastikan mereka dapat memulakan pembelajaran dalam keadaan lebih yakin, selesa dan bersemangat. Program ini digerakkan oleh para sukarelawan bersama rakan kerjasama yang komited dalam menyantuni dan memperkasa komuniti.
Objektif program ini adalah untuk meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah, terutamanya bagi keluarga yang mempunyai ramai tanggungan, supaya anak-anak mereka dapat memulakan sesi persekolahan baharu dengan kelengkapan yang mencukupi. Selain itu, program ini bertujuan meningkatkan keyakinan dan motivasi pelajar dengan memastikan mereka mendapat sokongan asas dalam pendidikan, seterusnya membantu mereka menumpukan perhatian kepada pembelajaran tanpa rasa tertekan.
Program ini dilaksanakan secara berperingkat sepanjang cuti persekolahan sebelum penggal pertama persekolahan bermula.