“Meringankan Beban, Memperkasakan Nelayan.”
Program Bantuan Pukat merupakan inisiatif bersama komuniti yang dianjurkan oleh Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama rakan korporat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban kehidupan komuniti nelayan yang kurang berkemampuan, dengan fokus bantuan di peringkat tempatan.
Realitinya, pendapatan komuniti nelayan tidak menentu – ada kalanya mereka “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Hasil tangkapan bergantung kepada keadaan cuaca, kadangkala banyak, kadangkala amat sedikit, dan ada masanya mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila rata-rata mereka menggunakan bot yang uzur dan peralatan menangkap ikan seperti pukat sudah banyak yang rosak atau koyak. Kebanyakan penerima sumbangan program ini tidak mampu membeli peralatan baharu kerana kenaikan harga pukat dan peralatan menangkap ikan yang semakin mahal.
Melalui program ini, pihak IAM bersama rakan korporat menyediakan bantuan barangan yang diperlukan bagi memudahkan nelayan mencari rezeki di laut. Antara barangan yang disumbangkan termasuk set pukat beserta peralatan menangkap ikan, ‘Tong Ikan’, jaket keselamatan, serta barangan lain yang bersesuaian dengan keperluan mereka semasa turun ke laut. Bantuan ini diharap dapat meningkatkan keberkesanan tangkapan dan meringankan kesusahan komuniti nelayan, seterusnya memperkukuh kehidupan mereka secara mampan.