“Jeti Selamat, Nelayan Tenang”
Projek komuniti ini bertujuan untuk meringankan beban penduduk setempat, khususnya nelayan, dalam menjalankan aktiviti menangkap ikan sebagai sumber pendapatan harian mereka. Projek istimewa ini dilaksanakan dengan matlamat utama memastikan keselamatan nelayan ketika berada di jeti yang uzur dan memerlukan pembaikan segera. Sebelum sesuatu projek dilaksanakan, pihak IAM akan menjalankan penelitian secara terperinci, dan pelaksanaannya juga bergantung kepada pembiayaan daripada rakan korporat.
Melalui projek ini, beberapa pembaharuan akan dibuat, termasuk menggantikan kayu yang reput dengan bahan yang lebih tahan lama, membina pondok tempat berehat untuk nelayan, serta memasang pancang-pancang baru untuk kegunaan bot nelayan. Projek Baik Pulih Jeti Nelayan ini turut melibatkan penyertaan aktif penduduk kampung bersama sukarelawan IAM, melalui aktiviti gotong-royong bagi menyiapkan jeti, dengan tempoh kerja bergantung kepada tahap kerosakan jeti.
Selain itu, program ini juga menyediakan aktiviti komuniti bersama penduduk setempat untuk mengeratkan tali silaturahim serta meningkatkan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk. Projek ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi fizikal jeti, tetapi juga memperkukuh hubungan sosial dalam komuniti nelayan.