Login

Signup

Posted By

Jeti Uzur Berwajah Baru Beri Manfaat Kepada Nelayan

May 23, 2018 | 0 Comments
featured-image

Penantian lebih daripada 50 nelayan di Kampung Dapur Arang, Gelang Patah, Johor, kini berkahir apabila jeti uzur yang digunakan oleh mereka telah siap dibaikpulih sepenuhnya melalui ‘Projek Baik Pulih Jeti Nelayan’ anjuran bersama pihak Etiqa dan Islamic Aid Malaysia.

Program komuniti dibawah program Tanggungjawab Korporat Etiqa ini diadakan bagi meringankan kesulitan yang dihadapi oleh komuniti nelayan dikawasan ini berikutan keuzuran jeti yang sedia ada. Melalui projek ini, memberikan kemudahan baru bagi para nelayan bagi menjalankan aktiviti harian mereka. Projek istimewa ini mendapat pembiyaan dari Etiqa dan dilaksanakan oleh Islamic Aid Malaysia.

Sejak lebih dari lebih 15 tahun, nelayan di Kampung Melayu Dapur Arang berdepan dengan masalah jeti uzur, sempit dan tidak selesa. Jeti yang diperbuat daripada kayu ini, hanyalah menanti masa untuk roboh. Keadaan lantai kayunya yang hampir reput akibat hujan dan panas, serta bumbung yang bocor mampu mengundang bahaya kepada nelayan yang saban hari menggunakan jeti tersebut bagi tujuan menaikkan hasil tangkapan laut mereka. Terdapat juga beberapa kepingan papan yang sudah bocor dan tertanggal, memaksa mereka untuk lebih berhati-hati ketika melalui jeti ini. Keadaan juga bertambah teruk apabila air pasang berikutan kedudukan jeti yang agak rendah.

Melalui projek ini, jambatan berkonkrit sepanjang 80 kaki telah dibina bagi menggantikan jambatan lama yang telah uzur dan reput. Pondok baru juga telah dibina dan pancang-pancang baru telah diganti bagi kegunaan bot-bot di jeti ini. Projek ini telah dijayakan melalui kerjasama bersama para sukarelawan IAM, penduduk setempat yang bersama-sama bergotong-royong membina semula jeti ini sejak September lepas. Di hari penyerahan jeti kepada penduduk setempat juga, aktiviti komuniti turut diadakan bagi tujuan mengeratkan silaturrahim diantara warga Etiqa dan penduduk setempat.